KUALA LUMPUR – Cubaan membawa masuk fahaman pelampau berasaskan ideologi Daesh ke Malaysia berjaya dipatahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi satu operasi keselamatan bersepadu yang menumpaskan rangkaian militan warga asing.
Hasil operasi tersebut, seramai 36 warga Bangladesh ditahan kerana disyaki terlibat secara langsung dalam gerakan militan radikal yang berpaksikan ekstremisme dan ideologi keganasan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, operasi dilaksanakan dalam tiga fasa di sekitar Selangor dan Johor sejak 24 April lalu, hasil risikan rapi oleh Pasukan Cawangan Khas PDRM.
“Lima daripada mereka telah didakwa di bawah Bab VIA Kanun Keseksaan di Mahkamah Seksyen Shah Alam dan Johor Bahru.
“Sebanyak 15 individu dikenakan perintah pengusiran, manakala 16 lagi masih disiasat berkaitan penglibatan mereka dalam rangkaian militan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kumpulan terbabit dikesan cuba mewujudkan sel pengrekrutan dalam komuniti mereka.
“Perbuatan ini bertujuan menyebarkan fahaman radikal, mengumpul dana untuk aktiviti keganasan serta menggugat kerajaan sah di negara asal mereka.
“Sebarang cubaan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi militan atau pusat transit gerakan ekstremis akan ditangani dengan tindakan yang pantas, tegas dan berkesan.
“Negara ini tidak akan menjadi tempat berlindung atau transit bagi sebarang unsur subversif yang melibatkan gerakan ekstremis asing,” tambahnya.
Tindakan tegas yang diambil mencerminkan ketegasan kerajaan dalam memastikan keselamatan negara sentiasa dipelihara daripada sebarang bentuk ancaman luar, ujarnya.
Kejayaan operasi ini, katanya, membuktikan kecekapan dan profesionalisme pasukan keselamatan khususnya PDRM dalam memelihara keselamatan dan keharmonian negara.
Pihaknya juga akan terus memperkukuh keupayaan risikan serta menggandakan penguatkuasaan dengan kerjasama agensi keselamatan dalam dan luar negara bagi memastikan Malaysia kekal aman dan bebas daripada ancaman keganasan. – MalaysiaGazette














