KUALA LUMPUR – Anak kepada jemaah yang dihalau daripada beriktikaf di Musolla Halaman 11, Bandar Rimbayu dan videonya tular di media sosial melahirkan rasa kecewa dengan kejadian menimpanya bapanya itu.
Azhar Hilmi yang juga peserta program Pencetus Ummah (PU) musim ketiga berkata, ketika kejadian, ayahnya tidak tidur, tidak membuat bising atau menganggu sesiapa di surau berkenaan.
Sebaliknya, kata Azhar, ayahnya sedang beriktikaf sambil membaca al-Quran sementara menunggu untuk solat sunat Duha.

“Seawal pagi, abah ke surau untuk solat Subuh. Lepas solat, macam biasa… abah akan duduk sekejap, baca al-Quran sambil tunggu waktu Dhuha. Dah selesai solat sunat Dhuha, baru dia akan gerak balik.
“Tapi pagi itu, datang seorang wanita dipercayai dari pengurusan dan terus halau abah keluar dari surau.
“Dan lebih menyakitkan, dia siap rakam video abah secara terbuka seolah-olah abah ni buat salah besar. Tak ada adab. Tak ada ihsan. Tak ada rasa hormat.
“Rasa geram dan sakit hati bila tengok video tu.
“Saya tulis ini bukan sebab nak viralkan siapa-siapa. Tapi saya nak tanya satu benda…Sejak bila surau jadi tempat eksklusif yang orang tua pun boleh kena halau?” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.
Sementara itu, Azhar turut mempersoalkan apa yang tinggal kepada masyarakat sekiranya seorang warga emas yang datang ke surau dilayan sedemikian rupa.
“Kita jaga surau, ya. Tapi jangan sampai kita jaga bangunan, tapi lupa jaga adab.
“Kita boleh halau orang dari surau. Tapi kita tak boleh halau doa dan keluhan mereka dari langit,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial video seorang seorang wanita menghalau seorang jemaah yang sedang beriktikaf sambil membaca al-Quran di sebuah surau sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.
Bagaimanapun, pihak pentadbir serta ahli jawatankuasa (AJK) surau berkenaan melahirkan rasa kesal dan membantah sekeras-kerasnya tindakan tersebut, dan menegaskan perbuatan itu bukan hasil persetujuan mereka. – MalaysiaGazette
















