Keadaan kereta yang terlibat dalam nahas berhampiran FELDA Pasak, Jalan Desaru-Kota Tinggi, petang tadi. Foto FB Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi

KOTA TINGGI – Dua lelaki warga emas maut manakala sembilan lagi termasuk bayi berusia tujuh bulan cedera ringan dalam nahas membabitkan lima kenderaan berhampiran FELDA Pasak, Jalan Desaru-Kota Tinggi, di sini petang tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dalam kenyataannya memaklumkan,kemalangan melibatkan kenderaan Toyota Corolla, Perodua Axia, lori Hino, Proton Saga dan Perodua Bezza.

“Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada 4.17 petang, sebelum tiba di lokasi 11 minit kemudian dengan kekuatan enam anggota dan sebuah jentera FRT.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi mendapati, terdapat 11 mangsa terlibat dalam kejadian itu termasuk dua lelaki warga emas berusia 69 dan 74 tahun yang menaiki Toyota Corolla.

“Mereka didapati tersepit di dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” katanya.

Sembilan lagi mangsa berusia antara tujuh bulan hingga 52 tahun mengalami kecederaan ringan dan telah keluar dengan sendiri daripada kenderaan yang dinaiki, sebelum pasukan bomba tiba, serta telah menerima rawatan awal oleh pihak KKM.

Katanya, operasi tamat jam 5.47 petang. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast