Isham Jalil.

KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada bekas Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil dikenakan perintah komital kerana menghina mahkamah ekoran kenyataannya dalam satu temu bual dua tahun lalu, akan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi, Selasa ini.

Keputusan itu akan disampaikan oleh Hakim K. Muniandy selepas mendengar penghujahan pihak-pihak pada 30 Mei lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam berhujah mewakili Peguam Negara manakala peguam Tan Sri Azhar Azizan Harun mewakili Isham atau nama sebenarnya Hizatul Isham Abdul Jalil.

Permohonan komital itu difailkan oleh Peguam Negara pada 28 Disember 2023 agar Isham dikenakan perintah pemenjaraan atau denda susulan satu temu bual bertajuk `Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?’ yang diadakan pada 30 September 2023.

Rakaman temu bual itu menyentuh mengenai prosiding perbicaraan dan rayuan kes SRC International Sdn. Bhd. dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Razak yang disiarkan di laman media sosial Facebook `The Malaya Post’ hari yang sama.

Mahkamah sebelum ini diberitahu, kenyataan beliau adalah satu bentuk campur tangan dalam pentadbiran keadilan dan merupakan penghinaan serius terhadap mahkamah yang boleh menjejaskan keyakinan awam.

Mustaffa berhujah, tindakan Isham mempertikai keputusan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi berhubung kes SRC dan 1MDB bekas Perdana Menteri, telah mencemarkan nama baik kehakiman dan menyebabkan ia menjadi bahan cemuhan.

Sementara itu, Azhar berhujah, kenyataan itu bukan bertujuan mencemarkan mahkamah kerana perkara yang dinyatakan oleh Isham sudah dibangkitkan peguam Najib di mahkamah, dan tiada sebab mengapa anak guamnya tidak boleh menyatakan perkara sama (di luar mahkamah).

Menurut afidavit permohonan komital itu, Isham didakwa telah mengeluarkan beberapa kenyataan mempersoalkan proses perbicaraan dan rayuan SRC dan 1MDB.

Berhubung kes 1MDB, Isham didakwa mengeluarkan kenyataan yang mempertikaikan secara tersurat atau tersirat yang membawa maksud hakim bicara telah bertindak berat sebelah apabila tidak menarik diri daripada terus mendengar perbicaraan kes itu.

Bagi kes SRC pula, Isham dalam temu bual sama, antara lain telah mempertikaikan proses rayuan di Mahkamah Persekutuan dan menggambarkan panel hakim telah menghakimi rayuan itu bertindak dengan tidak adil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast