KUALA LUMPUR – Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim wajar diberikan lanjutan perkhidmatan enam bulan sama seperti empat hakim Mahkamah Persekutuan lain sebelum ini.
Menurut mantan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, ia demi menjaga kelancaran pentadbiran dan kebebasan institusi kehakiman negara.
Beliau berkata, negara bakal berdepan kekosongan lebih separuh daripada keseluruhan hakim Mahkamah Persekutuan dalam tempoh enam bulan akan datang berikutan persaraan tujuh hakim kanan.
Menurutnya, situasi itu bukan sahaja menjejaskan perjalanan pentadbiran kehakiman sebaliknya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengamal undang-undang mengenai kemungkinan campur tangan politik dalam lantikan pemimpin tertinggi institusi kehakiman.
“Ramai peguam menghubungi saya untuk melahirkan kebimbangan bahawa kekosongan ini akan memberi kesan besar kepada kelancaran prosiding mahkamah.
“Mereka juga bimbang tentang kemungkinan berlaku percaturan politik dalam pengisian jawatan penting sehingga menjejaskan kebebasan institusi kehakiman negara.
“Ia bukan soal politik atau cuba mempolitikkan lantikan hakim. Ini soal memastikan sistem keadilan berjalan lancar, bebas dan diyakini rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tengku Maimun dijangka bersara pada 1 Julai ini diikuti Abang Iskandar pada 2 Julai ini manakala lima lagi hakim kanan dijadual bersara dalam tempoh enam bulan selepas itu termasuk Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli; dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Zabariah Mohd Yusof serta Datuk Hanipah Farikullah.
Empat daripada hakim terbabit sebelum ini diberi sambungan perkhidmatan enam bulan.
Rafizi berkata, kegagalan memberikan lanjutan hanya akan memburukkan persepsi masyarakat tentang ketelusan kerajaan dalam soal kebebasan institusi kehakiman, lebih-lebih lagi ketika kerajaan sedang berdepan tuduhan berhubung amalan double standard dalam beberapa pelantikan penting sebelum ini.
“Polemik ini akan menjadi lebih teruk sekiranya kerajaan tidak menangani kebimbangan pengamal undang-undang dengan baik.
“Tambahan pula, sejarah menjadi pengajaran kepada kita bahawa campur tangan eksekutif dalam institusi kehakiman akhirnya memakan diri dan menghancurkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara.
“Saya masih ingat bagaimana pemecatan Tun Salleh Abas pada tahun 1988 menjadi titik mula kesedaran politik saya. Waktu itu saya baru berumur 11 tahun. Peristiwa itu membuka mata saya mengenai kepentingan mempertahankan kebebasan badan kehakiman yang menjadi asas kepada sistem demokrasi,” ujarnya.
Beliau berkata, Keadilan dan Pakatan Harapan (PH) sendiri terbina di atas perjuangan mempertahankan kebebasan institusi kehakiman dan reformasi institusi negara.
“Adalah sangat malang sekiranya satu hari nanti, Keadilan dan PH pula dituduh melemahkan kebebasan kehakiman, sehingga mencetuskan kemarahan generasi muda yang akan bangkit menentang kerajaan,” tegasnya.
Justeru itu, Rafizi menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mengambil serius kebimbangan yang dibangkitkan dan memastikan kerajaan menangani isu ini secara telus serta berhemah demi menjaga keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman negara.
“Sebagai anggota pentadbiran sebelum ini, saya sentiasa membawa suara ini di meja perbincangan. Tetapi sebagai Ahli Parlimen sekarang, saya terpanggil untuk bersuara secara terbuka agar kerajaan tidak memandang enteng kebimbangan rakyat dan pengamal undang-undang.
“Kita tidak boleh mengulangi kesilapan lampau yang akhirnya membawa kepada krisis besar dalam sistem kehakiman, kerana sejarah telah membuktikan ia bukan sahaja menjatuhkan kepercayaan rakyat tetapi turut merosakkan pentadbiran negara,” katanya. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















