Fahmi melawat pusat NADI di Kubang Semang, Pulau Pinang hari ini.

PERMATANG PAUH – Pemilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah sambutan Hari Malaysia tahun ini dibuat susulan keputusan Kabinet pada April lalu yang menetapkan negeri-negeri di Semenanjung turut diberi peluang menganjurkan acara tersebut, bukan terhad kepada Sabah dan Sarawak sahaja.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan bahawa sebelum ini terdapat cadangan sambutan hanya kekal di Sabah dan Sarawak, namun Kabinet bersetuju agar Semenanjung Malaysia juga terlibat secara bergilir dalam penganjuran.

“Kali terakhir sambutan Hari Malaysia diadakan di Semenanjung ialah di Melaka, jadi kita bawa ke Pulau Pinang pula tahun ini.

“Selepas ini, maksudnya ia akan bergilir-gilir antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Mungkin tiga tahun dari sekarang kita akan pilih negeri lain supaya semua ada peluang untuk menjadi tuan rumah.

“Selain itu, kerajaan negeri juga telah menyatakan kesediaan untuk menjadi penganjur bersama dan satu mesyuarat telah diadakan pagi ini bersama Ketua Menteri, Chow Kok Yeow bagi menyelaras persiapan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Terdahulu, Fahmi melakukan tinjauan pelaksanaan pengukuran kualiti perkhidmatan menggunakan aplikasi MCMC NEXUS merangkumi laluan dari Pusat Konvensyen PICCA Butterworth ke NADI Kubang Semang di sini.

Mengulas lanjut Fahmi berkata, pihaknya telah mengadakan lawatan awal ke lokasi sambutan Hari Malaysia di PICCA, Butterworth dekat sini, hari ini.

“Setelah kita lihat tahap persiapan dan lokasi tersebut, ada beberapa perbincangan susulan untuk pengisian program termasuk di kawasan Ruang Lega dan juga pada sebelah siang hari 16 September kerana acara rasmi akan berlangsung di sebelah malam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast