Mayat tiga beranak ditemukan sudah mereput di dalam rumah, di Seremban.

SEREMBAN – Polis menemukan sekeping nota yang lengkap dengan butiran peribadi termasuk nama penuh dan nombor kad pengenalan tiga beranak yang mayatnya ditemukan sudah reput di dalam rumah.

Nota yang ditulis di dalam Bahasa Inggeris itu turut mengandungi maklumat mengenai sebuah gereja di sini dan meminta sesiapa yang menemukan mayat mereka untuk menghubungi gereja berkenaan.

Menurut nota berkenaan, mangsa yang terlibat adalah lelaki berusia 61 tahun, isterinya 59 tahun dan anak lelaki, 29 tahun.

Terdahulu, media melaporkan, tiga sekeluarga ditemui meninggal dunia di sebuah rumah di Taman Bukit Kristal, dekat sini, jam 4.53 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, berkata polis menerima maklumat orang awam berkaitan bau busuk dari rumah berkenaan yang berkunci.

“Bertindak atas maklumat itu, pihak polis dan bomba telah ke rumah berkenaan dan memotong kunci mangga pagar rumah terbabit. Pemeriksaan kemudian menemukan tiga mayat dalam keadaan mereput di dua bilik tidur,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad Hatta berkata, pemeriksaan forensik menemukan kesan torehan pada lengan kanan anak lelaki pasangan itu manakala mayat ibu bapanya tidak menunjukkan sebarang tanda yang mencurigakan.

“Turut ditemui empat pisau terdapat kesan darah dipercayai digunakan semasa kejadian serta pelbagai jenis ubat yang telah digunakan di atas meja ruang tamu rumah tersebut,” katanya.

Beliau berkata ketiga-tiga mayat dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan penuh bedah siasat. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast