GEORGE TOWN – “Di manakah Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang ketika prestasi pelancongan domestik negeri jatuh merudum?
Itu persoalan yang dibangkitkan parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Pulau Pinang susulan pendedahan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menunjukkan negeri ini hanya menerima 4.8 juta pelawat domestik sepanjang 2024, angka yang jauh di belakang beberapa negeri lain.
Pengerusi MUDA Pulau Pinang, Andika Putera menyifatkan angka tersebut sebagai tamparan besar kepada negeri yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan terkenal di seluruh negara sebagai pusat budaya, makanan dan warisan.
“Perak mencatat 10.2 juta pelawat, diikuti Johor dan Pahang (9.5 juta), Kedah (6.9 juta) dan Melaka (6.0 juta) semuanya memintas Pulau Pinang yang sebelum ini gah sebagai destinasi pelancongan utama negara.
“Ini merupakan satu tamparan besar bagi negeri yang sekian lama dikenali sebagai destinasi pelancongan utama negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Andika turut mempersoalkan keberkesanan pentadbiran Exco Pelancongan negeri, Wong Hon Wai, yang dilihat gagal memanfaatkan pelbagai peruntukan termasuk RM25 juta daripada Kerajaan Persekutuan pada Julai 2023 untuk memelihara dan mempromosi warisan negeri.
Dana ini sepatutnya digunakan untuk memelihara, menambah baik dan mempromosikan sektor pelancongan negeri, tetapi hasilnya sangat mengecewakan, ujarnya.
“Justeru kita menuntut penjelasan penuh daripada Exco berkenaan tentang strategi yang telah atau sedang dilaksanakan untuk mengatasi kejatuhan tersebut.
“Apakah tindakan strategik yang dirangka? Adakah kelemahan dasar atau promosi menyebabkan Pulau Pinang tidak lagi menjadi pilihan pelancong tempatan?” soal Andika.
Dalam pada itu, Andika turut meminta penjelasan daripada DOSM tentang kaedah pengiraan pelawat, sama ada ia berdasarkan penginapan berdaftar, penggunaan aplikasi, bancian lapangan atau data trafik.
“Ketelusan dan kejelasan kaedah pengiraan penting agar kerajaan negeri dapat bertindak berdasarkan data yang sahih.
“MUDA juga bersedia untuk bekerjasama dan menyumbangkan pandangan demi mengangkat semula nama Pulau Pinang dalam sektor pelancongan,” kata Andika. – MalaysiaGazette















