Anggota bomba mengeluarkan dua mangsa yang tersepit dalam kemalangan sebuah bas dan dua lori di Lebuhraya Utara Selatan, arah Selatan, Ayer Hitam, Batu Pahat malam tadi.

BATU PAHAT – Dua penumpang maut manakala 16 lagi cedera selepas bas persiaran kemalangan dengan dua lori di Kilometer 80.7 Lebuhraya Utara Selatan, arah Selatan, Ayer Hitam, di sini malam tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Penguasa Bomba Kanan II Md Isa Masngun berkata, kejadian pukul 12.44 tengah malam itu melibatkan bas dan lori jenis Volvo towtruck dan lori tangki.

“Bas berkenaan membawa 46 penumpang terdiri daripada 44 lelaki dan dua wanita bersama-sama pemandu sebelum dipercayai merempuh dua lori terbabit.

“Susulan itu BBP Ayer Hitam dan BBP Yong Peng bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan dan tiba pada pukul 1.08 pagi,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di lokasi, didapati dua penumpang lelaki bas tersepit dan disahkan maut di tempat kejadian.

Beliau memberitahu, mangsa yang terkorban dikenali sebagai Hidirman, 43, dan Zulhadi, 44, yang kedua-duanya merupakan warga Indonesia.

Menurutnya, 14 penumpang lelaki, seorang penumpang wanita serta pemandu bas cedera sementara selebihnya iaitu 27 penumpang lelaki dan seorang wanita tidak cedera.

Beliau berkata, pemandu lori towtruck berusia 42 tahun dan pemandu lori tanker berusia 33 tahun terselamat.

Pihak bomba katanya, menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans  dibantu satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bagi rawatan lanjut.

Tambahnya, operasi dikawal sepenuhnya pada pukul 3.02 pagi dan tamat kira-kira satu minit kemudian.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast