Pensyarah program kejuruteraan mekanikal UMS, Ir. Dr. Mohd Azlan Ismail menunjukkan cara penggunaan panel solar kepada murid-murid SK Catherine.

PENAMPANG – Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited berkongsi budaya inovasi dan kelestarian alam dalam kalangan pelajar sekolah
melalui program kesedaran bersama komuniti.

Perkongsian tersebut disampaikan melalui program khidmat masyarakat Jabatan EcoCampus dan Inovasi MPP UMS yang diketuai oleh pelajar antarabangsa UMS,
Carla Goncalves de Oliveira Sarmento yang berasal dari negara Timor- Leste.

Carla Goncalves, pelajar program pascasiswazah bersama kumpulan MPP UMS dan Postgraduate Student Association (PSA) UMS menganjurkan program berkenaan
bertujuan menyebar kesedaran mengenai inovasi lestari melalui pendekatan kitar semula bahan buangan terpakai.

“Program yang diadakan hari ini meliputi ceramah mengenai teknologi tenaga boleh baharu, pertandingan reka cipta bahan terpakai, bengkel inovasi hijau dan diskusi panel bersama tokoh industri dan akademik.

“Kami percaya bahawa pendidikan hari ini bukan hanya tertumpu di bilik kuliah, tetapi juga perlu merentasi sempadan komuniti dan alam sekitar,’’ katanya ketika ditemui para program tersebut yang diadakan di Moyog Innovation Centre, Penampang, baru-baru ini.

Majlis perasmian program tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor yang diwakili oleh Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Tiyunin.

Menurut Kasim, inisiatif program itu jelas mencerminkan komitmen mahasiswa UMS dalam menerajui usaha ke arah inovasi yang berteraskan kelestarian alam sekitar.
Katanya tema program ‘Empowering Education Through Recycling Innovation’ merupakan gagasan yang mengangkat nilai pendidikan berasaskan kreativiti, inovasi
dan kesedaran ekologi.

“Usaha sebegini amat penting dalam memupuk budaya bertanggungjawab terhadap sumber semula jadi serta menggalakkan pemikiran kritis dan penyelesaian masalah
dalam kalangan mahasiswa.

“Pendidikan hari ini bukan lagi terbatas kepada silibus semata-mata. Ia menuntut pembelajaran yang merentas disiplin, berorientasikan tindakan, dan membumi kepada realiti masyarakat.

“Program seperti ini mencerminkan aspirasi UMS untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja bijak dalam akademik, tetapi juga cakna terhadap isu-isu semasa,
bertanggungjawab, dan mempunyai empati terhadap bumi yang kita kongsi bersama,’’ ujarnya.

Sementara itu, Presiden MPP UMS, Yusuf Naim Muhammad Idris Lutfi berkata, penganjuran program tersebut memberikan pendedahan yang signifikan kepada
para pelajar yang turut disertai oleh murid-murid pendidikan khas.

Katanya, pendedahan itu diharap dapat memberi impak positif dalam melahirkan pelajar yang berdaya kreatif serta peka terhadap isu-isu semasa alam sekitar.

“MPP UMS buat julung kalinya sebagai penganjur program ini akan terus komited memupuk nilai inovasi dalam setiap penganjuran program khususnya bersama
murid-murid sekolah rendah dan menengah.

“Usaha ini sejajar dengan visi dan misi MPP UMS dalam membentuk pembangunan insan yang berfikiran kritis dan kreatif.

“Semoga hasrat murni ini dapat diteruskan bukan sahaja di peringkat MPP malah dalam setiap diri mahasiswa, sama ada yang tertibat secara langsung mahupun tidak
langsung,’’ katanya.

Sebanyak empat buah sekolah menyertai program tersebut iaitu Sekolah Kebangsaaan (SK) St. Agnes, SK St. Catherine, SK Malawa dan Sekolah Menengah
Tinggi Kota Kinabalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast