SURAT lantikan Adzwan Ab Manas sebagai hli Lembaga Pelawat Hospital Rembau, Negeri Sembilan yang dikongsi penceramah bebas, Firdaus Wong di laman sosial Facebook beliau hari ini.

KUALA LUMPUR – Penceramah bebas, Firdaus Wong menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan keputusan melantik individu berkepentingan dalam persatuan peruncit peranti vape sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rembau, Negeri Sembilan.

Menerusi hantaran di laman sosial Facebook beliau hari ini, Firdaus Wong mendedahkan, pada 23 Jun lalu, Presiden Persatuan Peruncit Peranti dan Cecair Rokok Elektronik (MRECA), Datuk Adzwan Ab Manas memuat naik sepucuk surat pelantikan sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital berkenaan.

Katanya, surat pelantikan Adzwan itu ditandatangani oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Firdaus Wong Wai Hung

Tambahnya, antara peranan Ahli Lembaga Pelawat Hospital adalah bertanggungjawab menjelaskan isu berkaitan sistem penyampaian perkhidmatan hospital kepada orang awam dari semasa ke semasa bagi menjaga nama dan imej hospital serta mengelakkan tanggapan negatif dalam komuniti.

“Saya tertanya, apakah mesej yang ingin disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Kementerian Kesihatan & kerajaan apabila melantik tauke vape sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital?

“Adakah pelantikan tauke vape itu menjaga imej hospital serta mengelakkan tanggalan negatif dalam komuniti?

Seriously sebagai rakyat Malaysia, saya berminat nak tahu jawapannya…,” katanya.

Menerusi hantaran sama, Firdaus Wong turut berkongsi surat lantikan Adzwan serta senarai nama Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rembau yang terkini.

Berdasarkan surat lantikan itu, Adzwan menggalas jawatan tersebut bermula 1 Januari lalu sehingga 31 Disember 2027. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast