Dr. Mohd Azam Ahmad (kanan) menerima dokumen lantikan sebagai Ketua Pengarah Pendidikan baharu daripada Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. - Foto: FB Shamsul Azri bin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar hari ini mengumumkan pelantikan Dr. Mohd Azam Ahmad sebagai Ketua Pengarah Pendidikan baharu berkuat kuasa Isnin depan.

Shamsul Azri dalam satu kenyataan hari ini berkata, Mohd Azam memiliki latar belakang akademik yang mantap dengan kelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Bahasa Melayu, Ijazah Sarjana dalam Linguistik Wacana serta Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Strategik Komunikasi dari Universiti Malaya.

Menurut beliau, Mohd Azam memulakan khidmat dalam Perkhidmatan Awam pada 1 Mac 1989 sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) dan sebelum pelantikan  memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme).

“Dengan pengalaman lebih 35 tahun dalam bidang pendidikan serta kompetensi tinggi yang dimiliki, saya yakin beliau mampu memperkasa sistem pendidikan negara ke arah yang lebih cemerlang.

“Pelantikan ini juga selari dengan hasrat untuk memartabatkan pendidikan berlandaskan nilai-nilai MADANI, demi kemajuan negara dan kemenjadian anak-anak Malaysia,” katanya.

Mohd Azam menggantikan Datuk Azman Adnan sebagai Ketua Pengarah Pendidikan yang akan bersara wajib bermula esok, selepas 35 tahun menabur bakti dalam perkhidmatan awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast