Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan menjelaskan penggunaan akaun dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pembiayaan Pelan Insurans Kesihatan Asas seperti yang dicadangkan kerajaan, bukan sesuatu yang negatif mahupun bersifat kompulsif.

Sebaliknya, menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, cadangan itu memberi pilihan kepada orang ramai untuk membeli produk kesihatan dengan cara pembiayaan sendiri atau menggunakan simpanan akaun dua KWSP.

“Akaun dua memang untuk perkara yang terkait dengan pendidikan dan kesihatan. Ia tidak melibatkan akaun satu yang ditetapkan untuk simpanan persaraan.

“Saya ulangi, penggunaan akaun dua bukan negatif atau kompulsif, ia merupakan cadangan pelan kesihatan yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat insurans dalam pasaran.

“Sesiapa pun boleh membelinya, tiada desakan daripada mana-mana pihak. Harap pihak media dapat `angkat’ perkara ini dengan baik,” ujar beliau.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad melawat reruai yang disediakan pada Majlis Perasmian Ekspo Makanan Selamat (eMAS) dan Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia peringkat Kebangsaan 2025 di Alamanda, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 05 JULAI 2025

Dzulkefly menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Ekspo Makanan Selamat (eMAS) sempena Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025 di di sini hari ini.

Program tiga hari hingga esok diadakan dengan Kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Persatuan Keselamatan Makanan Malaysia (MAFSA) yang merupakan inisiatif penting untuk memperkasa industri makanan selamat negara.

Dzulkefly ditanya pihak media berhubung perkembangan cadangan kerajaan yang sedang meneliti inisiatif mewujudkan skim insurans asas bagi rakyat Malaysia.

Pada 26 Jun lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, skim itu dicadangkan melalui kerjasama antara Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Bank Negara Malaysia (BNM)

Amir Hamzah berkata, skim insurans asas untuk rakyat itu sebahagian daripada langkah mengurangkan beban kewangan terhadap kos rawatan kesihatan yang semakin meningkat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast