KUALA LUMPUR – Seramai 915 peserta golongan B40 berjaya menamatkan latihan dan ujian lesen memandu di bawah Program MyLesen B2 anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramly berkata, Program MyLesen B2 tahun ini telah menerima peruntukan RM5.25 juta untuk membiayai latihan dan ujian kepada 15,000 peserta seluruh negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,200 kuota diberikan kepada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Sebanyak 762 peserta terdiri daripada pelajar sekolah menengah, selain melibatkan pelajar kolej vokasional, universiti, Giat MARA dan belia umum.

“Semua peserta adalah daripada golongan berpendapatan rendah B40.

“Kerjasama turut dijalankan dengan enam institut memandu terpilih di bawah seliaan JPJ KL untuk memastikan latihan berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas selepas Majlis Penyerahan MyLesen B2 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di sini, hari ini.

“Kami ingin menegaskan bahawa lesen memandu bukan sekadar dokumen sah, sebaliknya satu amanah dan tanggungjawab.

“Oleh itu, JPJ kini sedang meneliti mekanisme menarik balik lesen MyLesen sekiranya penerima terlibat dalam kesalahan jalan raya serius seperti lumba haram.

“Kita tidak mahu calon yang menerima subsidi kerajaan ini menyalahgunakan lesen. Kita sedang kaji kaedah menarik semula lesen sekiranya mereka langgar undang-undang,” tambahnya.

Program ini turut menjadi platform kepada JPJ untuk memperkasa keselamatan jalan raya melalui pelbagai inisiatif pendidikan termasuk Program Cakna Lalu Lintas, Tunggang Bijak dan Kadet JPJ di sekolah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast