Majlis Perasmian Projek Landfill Mining diadakan di Tapak Pelupusan Beris Lalang di Bachok, Kelantan baru-baru ini

KUALA LUMPUR – Projek Landfill Mining iaitu satu inisiatif pengurusan sisa mampan yang mula beroperasi sepenuhnya sejak Januari lalu kini memberi nafas baharu kepada tapak pelupusan sisa pepejal Beris Lalang di Bachok, Kelantan.

Projek yang diterajui oleh Dwitekno Sdn. Bhd. (Dwitekno) dengan kerjasama Pengurusan Sisa Pepejal Mubarakan Sdn. Bhd. merupakan pendekatan baharu dalam menangani sisa pepejal yang sebelum ini hanya dilupus secara konvensional.

Pengarah Urusan Dwitekno, Mohd. Fadzil Zamrod berkata, projek tersebut bukan hanya melibatkan pelupusan sebaliknya turut mengaktifkan semula sisa lama yang tertanam dengan mengekstrak semula bahan bernilai seperti plastik, logam dan bahan organik untuk diproses semula.

Menurut beliau, projek itu memberi fokus kepada pemulihan empat komponen utama iaitu bahan organik untuk dijadikan kompos, plastik lembut dan keras yang masih bernilai, serta logam untuk dikitar semula.

“Ia menjadikan proses ini bukan sekadar pelupusan tetapi satu penjanaan sumber baharu dan antara teknologi utama yang digunakan ialah bio-drying iaitu kaedah rawatan bahan organik melalui pengudaraan semula jadi dan tindak balas mikroorganisma yang meningkatkan suhu dan mempercepatkan proses pengeringan.

“Kaedah ini bukan sahaja menjimatkan tenaga, malah mampu menghasilkan kompos berkualiti tinggi yang mesra alam,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis Perasmian Projek Landfill Mining diadakan di Tapak Pelupusan Beris Lalang baru-baru ini turut dihadiri Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah.

Kerajaan Kelantan menyokong penuh inisiatif itu dan bercadang untuk memperluaskan Projek Landfill Mining ke tapak-tapak lain di negeri itu.

Mengulas lanjut, Mohd. Fadzil berkata, menerusi projek itu, kapasiti pemprosesan sisa harian dijangka meningkat daripada 50 tan kepada 500 tan sehari dalam tempoh empat tahun akan datang.

Jelasnya, sekitar 30 peratus sisa akan dijadikan baja organik manakala 20 peratus lagi terdiri daripada plastik dan logam yang akan dikitar semula atau digunakan semula sebagai bahan api industri melalui teknologi pirolisis.

“Tapak ini sudah lama beroperasi, dengan lapisan sisa setinggi 30 meter yang mengambil masa kira-kira 15 tahun untuk diproses semula,” katanya.

Sementara itu, Hilmi berkata, kerajaan negeri menyokong penuh inisiatif itu dan bercadang untuk memperluaskan projek seumpama ini ke tapak-tapak lain selepas kejayaan di Beris Lalang.

“Kita akan mencadangkan tapak di Tumpat iaitu Kok Bedollah sebagai lokasi seterusnya dan kawasan itu seluas lebih 90 ekar serta berpotensi besar untuk dilaksanakan teknologi ini.

“Kita melihat peluang ini untuk memanjangkan hayat tapak dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast