KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) melahirkan kekecewaan terhadap kelewatan tindak balas atau langkah susulan yang diambil oleh agensi-agensi yang mendapat teguran daripada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, meskipun banyak laporan siasatan terperinci terhadap kes salah laku termasuk salah guna kuasa dan perlanggaran prosedur dalam agensi penguatkuasaan dikeluarkan EAIC namun tiada langkah konkrit diambil oleh agensi terlibat.
Situasi itu menggambarkan laporan EAIC seolah-olah hanya `nyamuk yang menggigit kulit gajah’ yang mana langsung tidak menggugat pihak pengurusan atasan agensi terlibat yang terus bersikap kebal dan tidak peduli.
“Ini mencerminkan kelemahan penguatkuasaan moral dalam jabatan serta kekurangan kehendak politik dan institusi untuk berubah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai pandangan Pengerusi EAIC, Tan Sri Dr Ismail Bakar menerusi artikel yang disiarkan sebuah akhbar arus perdana yang antara lain mendedahkan gejala salah laku penjawat awam bukan sahaja semakin membarah malah dilindungi oleh ketua jabatan dan pihak pengurusan tertinggi sendiri.
Sementara itu, Jais berkata, pendedahan Ismail tersebut bukan sesuatu yang mengejutkan sebaliknya simptom kepada budaya toksik dalam pentadbiran awam yang mana pelaku salah laku terus bebas tanpa tindakan manakala pemberi maklumat ditekan atau dipindahkan.
Sedangkan, tegas beliau, budaya `jaga orang sendiri’ itu adalah musuh utama kepada integriti dan pembaharuan sistem perkhidmatan awam.
Sehubungan itu, bagi mengatasi cabaran tersebut, MCW mencadangkan supaya ketua jabatan atau pegawai kanan di agensi kerajaan yang melindungi salah laku perlu dikenakan tindakan tatatertib dan siasatan bebas.
Selain itu, ujarnya, setiap laporan siasatan EAIC perlu diberi tempoh masa wajib untuk maklum balas dan tindakan, disertakan pemantauan berkala oleh Parlimen atau badan pemantauan bebas.
Dalam masa sama, jelas beliau, peruntukan kuasa EAIC perlu dipertingkatkan supaya siasatan yang dijalankan tidak hanya sekadar menjadi ‘laporan tanpa taring’.
“MCW juga mencadangkan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat perlu dikuatkuasakan tanpa kompromi selain perlindungan menyeluruh diberikan kepada pengadu.
“Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Ketua Setiausaha Negara juga perlu mewajibkan laporan tahunan integriti jabatan, termasuk statistik tindakan tatatertib sebenar,” katanya. – MalaysiaGazette
















