Konvoi yang membawa Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) diiringi pegawai penjara hadir ke mahkamah bagi menghadiri perbicaraan kes saman SRC International di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 7 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Datuk Seri Najib Razak harus bertanggungjawab terhadap kerugian AS$1.18 billion yang ditanggung SRC International Sdn. Bhd. kerana salah guna kuasa yang dilakukannya ketika memegang jawatan dalam kerajaan serta memperoleh ganjaran daripada dana syarikat itu.

Peguam Datuk Lim Chee Wee berhujah, SRC International yang pada dasarnya bertujuan memenuhi keperluan rakyat, sebenarnya menjadi mangsa penipuan berskala besar melalui bekas perdana menteri selaku benefisiari utama.

Hujah beliau, meskipun syarikat itu mengalami kerugian besar sebanyak AS$1.18 bilion, Najib (defendan pertama) secara peribadi menerima AS$120 juta ke dalam akaun miliknya dan RM42 juta yang merupakan perkara dalam saman berasingan.

Menurut Chee Wee, Najib kerap menukar keterangannya dengan memberikan lima versi berbeza ketika ditanya berhubung penerimaan AS$120 juta dana SRC International yang dikreditkan ke dalam akaun peribadinya.

Hujah peguam, Najib menafikan menerima wang daripada dana syarikat, sebaliknya mendakwa ia adalah derma selain menegaskan akaun berkenaan tidak diuruskannya sendiri dan semata-mata untuk tujuan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Bekas Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara bagi penggal Parlimen ke-13, Datuk Seri Abdul Halim Abd. Samad (dua kiri) hadir ke mahkamah bagi menghadiri perbicaraan Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terkait kes SRC International di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 7 JULAI 2025.

 

 

Menurut Chee Wee, Najib dicabar dalam konteks kredibilitinya dan tort salah guna apabila mengesahkan dalam afidavit bahawa dia menerima RM42 juta daripada SRC International, namun memberikan lima versi berbeza dalam keterangannya di mahkamah.

“Antaranya, D1 (Najib) menyatakan afidavit itu didraf secara teruk selain menyatakan beliau telah dikelirukan oleh maklumat yang diberikan kepadanya.

“Namun apabila ditanya siapa yang memberikan maklumat salah itu, D1 tidak dapat memberikan jawapannya selain mendakwa dia turut dikelirukan oleh laporan media.

“Jika ia benar sekalipun, ini mencerminkan sikap cuai seorang perdana menteri yang bergantung secara melulu kepada ulasan awam yang tidak disahkan di media sosial mengapa RM42 juta telah dimasukkan ke dalam akaun peribadinya,” ujar beliau.

Mahkamah sedang mendengar penghujahan kes saman SRC International terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif, SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil.

Menurut Chee Wee, sebelum dana itu diterima, Najib terlebih dahulu memainkan peranan bagi membolehkan wang pesara daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP dalam SRC, diselewengkan.

Ujarnya, D1 berbuat demikian di pejabat awam sebagai perdana menteri dan menteri kewangan selain peranannya sebagai pengarah bayangan dalam SRC International.

Hujah beliau, Najib menyalahguna jawatan awam antara lain dengan memperoleh tanpa usaha wajar kajian kemungkinan (feasibility studies), dua pinjaman RM2 billion dan dua jaminan kerajaan untuk sebuah syarikat yang beliau sifatkan sendiri sebagai `syarikat baharu tanpa rekod prestasi’.

Beliau selanjutnya berhujah, Najib cuba menyembunyikan pinjaman dengan meluluskan pelbagai pinjaman jangka pendek kepada SRC International untuk mengelakkan kemungkiran siasatan dilakukan berhubung keupayaan pembayaran baliknya.

“Jumlah keseluruhan pinjaman jangka pendek ini adalah mengejutkan, mencecah agregat RM642 juta. Pinjaman jangka pendek ini diperoleh untuk mengelakkan tercetusnya `amaran’ bahawa SRC mungkir dalam pinjaman KWAP, dan lebih penting lagi untuk melindungi jejak keuntungan D1 sendiri dalam penipuan ini,” ujarnya.

Hujah Chee Wee, Najib selanjutnya menggunakan peranannya sebagai pengarah bayangan SRC yang mana beliau mengawal Lembaga SRC melalui resolusi pemegang sahamnya ke atas keputusan makro penting yang sepatutnya dibuat oleh Lembaga SRC sendiri.

Ujar beliau, sebagai pengarah bayangan SRC, beliau menandatangani resolusi pemegang saham untuk menerima dan mendapatkan pinjaman KWAP RM4 bilion dan RM3.6 bilion daripada jumlah pinjaman itu akan dikeluarkan daripada SRC untuk tujuan yang tidak sah.

Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin menetapkan esok bagi menyambung sesi penghujahan.

SRC, di bawah pengurusan baharu memfailkan saman itu pada Mei 2021, atas dakwaan Najib telah melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan terhadap dana berkenaan.

SRC juga menuntut deklarasi mahkamah bahawa Najib adalah bertanggungjawab bagi kerugian yang dialami oleh syarikat itu akibat pelanggaran tugas serta amanah beliau dan menuntut supaya beliau membayar balik kerugian yang dialami berjumlah RM42 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast