Saifuddin Shafi

KUALA LUMPUR – Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad menempelak Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar susulan kenyataannya yang mempertikaikan usaha kerajaan negeri mengadakan taklimat berhubung insiden letupan paip gas di Putra Heights.

Saifuddin mendakwa, Mohamed Sukri jelas gagal memahami prinsip asas demokrasi dan kedudukan sebenar kuasa dalam pentadbiran negeri.

“Kuasa untuk menerima atau menolak sesuatu usul di Dewan Negeri Selangor adalah hak mutlak dan prerogatif Yang Berhormat Speaker. Bukan kuasa Menteri Besar.

“Maka adalah tidak wajar untuk beliau mendesak menteri besar agar menerima usul yang dikemukakan ketua pembangkang. Ini menunjukkan kekeliruan yang nyata terhadap proses dan tatacara legislatif,” katanya dalam satu kenyataan.

Saifuddin yang juga Pengarah Strategi Keadilan Selangor turut membidas kenyataan Mohamed Sukri yang menyamakan pemberian taklimat kepada ahli dewan sebagai tindakan memperlakukan wakil rakyat seperti ‘budak sekolah’.

“Kenyataan ini bukan sahaja dangkal, malah satu penghinaan terbuka terhadap usaha kerajaan negeri yang berhasrat memaklumkan secara menyeluruh kepada semua pihak berkepentingan, termasuk wakil rakyat pembangkang.

“Adakah beliau juga menganggap taklimat Parlimen berkaitan pelaksanaan vaksin semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu sebagai melayan ahli Parlimen seperti budak sekolah,” soalnya.

Jelas beliau, kerajaan negeri sentiasa mengamalkan prinsip keterbukaan dan akauntabiliti malah taklimat seperti itu merupakan amalan biasa dalam mana-mana pentadbiran bertanggungjawab.

“Pemuda Pas Selangor seharusnya berhenti menangguk di air keruh dan tidak menjadikan tragedi yang menimpa rakyat sebagai modal politik murahan.

“Rakyat sedang memerhati. Hormatilah institusi dewan, dan hentikan retorik yang hanya memperlekehkan kebijaksanaan rakyat dan wakil mereka,” tegasnya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast