Gambar hiasan

KODOKUSHI, satu fenomena kematian dalam kesunyian, bukan lagi sekadar isu sosial di Jepun bahkan ia kini mula menjalar ke rantau Asia Tenggara, termasuk Malaysia. Istilah Jepun ini merujuk kepada situasi di mana seseorang meninggal dunia bersendirian di rumah tanpa sesiapa menyedarinya, hanya dijumpai selepas beberapa hari atau minggu. Ia bukan sekadar kisah tragis, tetapi cerminan kepada kemerosotan hubungan kekeluargaan, kekosongan sosial, dan kehilangan rasa komuniti dalam dunia moden yang mementingkan hak-hak individualisme.

Di Jepun, Kodokushi mula dikesan sejak krisis ekonomi 1980-an. Statistik pada tahun 2024 menunjukkan lebih 76,000 kes individu mati bersendirian di kediaman, majoritinya warga emas. Pihak berkuasa tempatan di sana telah menubuhkan unit khas untuk mengurus jasad yang dijumpai dalam keadaan reput tanpa waris yang tampil.

Lebih membimbangkan, fenomena ini turut direkodkan di negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Singapura. Di Singapura, lebih 700 kes kematian bersendirian dilaporkan pada tahun 2020, mendorong kerajaan menubuhkan agensi khas seperti Silver Generation Office (SGO) untuk memantau warga emas melalui rangkaian sukarelawan dan NGO. Langkah serupa turut diambil di Thailand dengan program Village Health Volunteers, manakala Indonesia pula mewujudkan Posyandu Lansia, pusat penjagaan komuniti untuk golongan lanjut usia.

Di Malaysia, petanda awal Kodokushi turut kelihatan. Kes warga emas ditemui mati bersendirian di flat kos rendah, hanya disedari selepas bau jasad merebak ke rumah jiran, semakin kerap dilaporkan. Keadaan ini mencerminkan realiti baru masyarakat moden pabila anak-anak berpindah ke bandar atau luar negara, sementara warga tua dibiarkan bersendirian tanpa pemantauan atau sokongan sosial.

Dari kaca mata Islam, keadaan ini amat menyedihkan. Al-Qur’an dan sunnah Rasulullah SAW amat menekankan hubungan kejiranan dan tanggungjawab sosial. Intipati firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’ ayat 36 yang menyuruh kita berbuat baik bukan hanya kepada keluarga, tetapi juga kepada jiran tetangga. Begitu juga dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang menyatakan, “Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mencintai untuk jirannya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri” (Riwayat Bukhari). Kodokushi dalam perspektif Islam adalah kegagalan umat dalam menjaga amanah fardhu kifayah iaitu membela golongan rentan seperti warga emas, OKU dan mereka yang hidup terasing.

Malaysia perlu bertindak sebelum fenomena ini menjadi kebiasaan. Antara langkah awal termasuklah memperkukuh semangat kejiranan melalui rukun tetangga dan ziarah komuniti, mewujudkan sistem pemantauan warga emas di peringkat PBT, dan menggerakkan peranan masjid sebagai pusat kesejahteraan sosial. Imam dan jawatankuasa masjid boleh memainkan peranan aktif untuk mengenal pasti jemaah yang menyepi dan membantu mereka.

Program kesedaran dan interaksi sosial yang tidak bersifat keagamaan juga boleh diselitkan bagi menyedarkan masyarakat bahawa menjaga hubungan sosial adalah sebahagian daripada ibadah. NGO dan belia setempat digalakkan untuk menyantuni warga emas secara berkala. Selain itu, aspek kesihatan mental dan bantuan psikososial juga perlu diberikan perhatian. Individu yang mengalami tekanan atau kemurungan tidak wajar dipinggirkan. Mereka perlu disokong dengan kasih sayang, bukan dipandang sebagai beban.

Dalam dunia yang penuh kesibukan dan perkembangan teknologi yang tidak berpenghujung, tiada siapa patut mati dalam kesunyian. Kodokushi bukan sekadar kematian yang sepi, tetapi satu peringatan tentang betapa rapuhnya nilai kemanusiaan jika kita terus mengabaikan tanggungjawab sosial. Islam tidak mengajar umatnya untuk membiarkan manusia lain larut dan hanyut dalam kesepian. Sebaliknya, Islam mengangkat martabat setiap nyawa dan menuntut kita menyantuni sesama insan dengan sifat kesatuan ummah. Jom, kita noktahkan fenomena Kodokushi ini dengan memulakan satu tindakan kecil tetapi sangat bermakna — “bertanya khabar kepada jiran yang kita tidak pernah tegur selama ini”.

Prof. Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor
Pensyarah Kanan, Program Dakwah dan Pengurusan Islam
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

 

 

 

Prof. Madya Dr. Nuruliza Roslan
Pensyarah Kanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast