Dr Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang merangka modul khas bagi menangani penularan fahaman ekstremis dalam kalangan warganegara Bangladesh di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membendung penularan fahaman militan itu.

“Kita sedang usahakan satu modul yang sesuai untuk pekerja asing seperti warga Bangladesh yang berada di Malaysia.

“Jika kita berjaya membendung fahaman ekstremisme itu, secara tidak langsung kita bukan saja membantu negara kita, bahkan negara asal mereka yang turut berdepan ancaman gerakan pelampau,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mendedahkan, Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB) berpaksikan fahaman ekstremis menggunakan platform Facebook, WhatsApp dan Telegram untuk menyebarkan fahaman tersebut dalam kalangan warganegara Bangladesh yang bekerja di negara ini.

Ketua Polis Negara berkata, Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman mengesan beberapa akaun Facebook menyebarkan propaganda itu menggunakan alamat IP di Malaysia dan dikendalikan warganegara Bangladesh.

Pada 27 Jun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu rangkaian militan warga asing dengan penahanan 36 warga Bangladesh yang disyaki terbabit secara langsung dalam gerakan militan radikal berpaksikan fahaman ekstremis dan ideologi keganasan.

Selain itu, Mohd Naim berkata, pihaknya akan menyesuaikan modul pendidikan untuk rakyat tempatan melalui ceramah, khutbah dan seminar berteraskan pendekatan wasatiyyah dengan warga asing dalam kadar segera.

“Modul domestik memang sudah ada, tapi untuk warga asing ini kita perlu sesuaikan kerana ia penting agar mereka tidak terpengaruh dengan ajaran atau ideologi yang boleh menggugat keselamatan negara,” katanya.

Katanya, Jakim masih meneruskan pendekatan mendidik masyarakat untuk menghindari sebarang fahaman melampau termasuk ekstremis, Islamofobia dan liberalisme.

“Apa juga bentuk ancaman sama ada ekstremisme atau liberalisme, kita akan tangani dengan memastikan masyarakat memahami Islam melalui landasan Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti yang diamalkan di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast