Dominic Lau Hoe Chai

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu segera mengambil langkah proaktif untuk menjalankan pemeriksaan dan siasatan risiko keselamatan terhadap rangkaian paip gas asli Petronas di seluruh negara.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menegaskan, insiden letupan paip gas asli yang berlaku di Putra Heights sebelum ini menjadi peringatan serius kepada pihak berkuasa untuk tidak membiarkan ia berulang.

Katanya, meskipun beliau masih meragui laporan siasatan pihak berkuasa berhubung insiden berkenaan namun, isu keselamatan perlu dijadikan keutamaan.

“Adakah kerajaan tidak sepatutnya segera menjalankan siasatan menyeluruh berkaitan paip gas asli di seluruh Semenanjung Malaysia terutamanya untuk mengenal pasti sama ada paip-paip ini turut mengalami masalah penurunan tanah?” soalnya menerusi kenyataan hari ini.

Dominic turut menggesa Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) agar tidak hanya bertindak selepas kejadian bencana berlaku, sebaliknya mengambil pendekatan yang lebih proaktif dalam merancang dan melaksanakan pelan keselamatan.

“Pengurusan bencana bukan hanya mengenai tindak balas selepas bencana berlaku tetapi juga merangkumi perancangan, amaran awal, dan kaedah pengesanan masalah yang boleh mengelakkan bencana,” ujarnya.

Pada masa sama, Dominic mempertikaikan ketidakmampuan agensi berkaitan untuk mengesan penurunan tanah yang menjadi punca kepada insiden letupan paip gas di Putra Height.

“Memandangkan kejadian berlaku akibat kegagalan mengesan penurunan tanah, adakah agensi berkaitan tidak boleh mencari kaedah pengesanan awal yang lebih baik?

“Adakah tiada teknologi atau kaedah yang boleh digunakan untuk mengesan masalah ini sebelum ia berlaku?” soalnya lagi.

Selain itu, beliau menegaskan pemeriksaan berkala terhadap paip gas asli adalah langkah penting dalam mengurangkan risiko bencana.

Beliau turut mencadangkan kerajaan mewajibkan jurutera geoteknik untuk menetapkan kekerapan pemeriksaan yang lebih singkat terutamanya untuk saluran paip gas asli utama.

Katanya, laluan utama paip gas asli di Semenanjung Malaysia yang bermula dari Kerteh, Terengganu hingga ke Segamat, Johor dan terbahagi kepada dua laluan utama iaitu satu ke Pasir Gudang, Johor dan satu lagi ke Kapar, Selangor hingga ke Kedah perlu diawasi dengan lebih teliti.

Walaupun audit tahunan dijalankan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), insiden seperti di Putra Heights menunjukkan ia masih belum mencukupi untuk mengesan risiko keselamatan tersembunyi yang tidak dapat dilihat secara fizikal.

“Keselamatan nyawa rakyat Malaysia adalah keutamaan dan tidak boleh dipandang ringan. Kerajaan perlu memastikan keselamatan infrastruktur kritikal seperti paip gas asli diberi perhatian yang sewajarnya bagi mengelakkan tragedi yang lebih buruk,” tegasnya.

Insiden letupan paip gas asli di Putra Heights pada 6 Julai lalu menyebabkan kerosakan besar dan kecederaan kepada beberapa individu.

Kejadian tersebut menimbulkan kebimbangan besar mengenai tahap keselamatan dan pengurusan risiko terhadap infrastruktur gas asli di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast