Ahli Majlis Penasihat NAFAS, Datuk Hadzir Md Zain (kiri) bercakap kepasa wartawan ketika sidang media berkenaan dengan perkembangan dan status semasa NAFAS di Menara LPP, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 8 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Pelan reformasi yang sedang dilaksanakan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh tadbir urus serta menyusun semula kecekapan sistem penyampaian demi memastikan kelangsungan peranan NAFAS dalam industri agro-makanan negara.

Ahli Majlis Penasihat (COA) NAFAS, Datuk Hadzir Md Zain berkata, pendekatan ini juga penting untuk menjadikan NAFAS sebagai organisasi yang lebih berdaya tahan, telus dan mampu bersaing dalam landskap pertanian moden.

Menurut beliau, selepas lebih 50 tahun diberi mandat mengurus pelbagai bentuk subsidi pertanian seperti baja dan input lain, NAFAS perlu terus mengukuhkan kedudukan dalam sektor tersebut berdasarkan kekuatan logistik dan rantaian peladang yang luas.

“Pertubuhan peladang perlu beroperasi dengan lebih cekap dan berkesan berdasarkan kekuatan logistik dan pengalaman yang ada,” katanya pada sidang media di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), di sini hari ini.

Operasi harian tidak terjejas, kekal fokus kepada khidmat ahli

Mengulas mengenai status semasa, Hadzir menjelaskan bahawa meskipun Ahli Jemaah Pengarah NAFAS sedang dalam tempoh penggantungan, semua operasi organisasi berjalan seperti biasa dan teratur.

“Panel Pentadbir telah mengambil alih fungsi pentadbiran secara interim dan semua urusan pengurusan termasuk agihan subsidi baja terus berjalan seperti yang dijadualkan,” katanya.

Beliau menegaskan, meskipun berada dalam fasa pemulihan tadbir urus, keutamaan NAFAS kekal terarah kepada memastikan kelangsungan khidmat terbaik kepada peladang, tanpa sebarang gangguan terhadap fungsi utamanya sebagai penyelaras input pertanian negara.

NAFAS memiliki kekuatan logistik, rangkaian peladang bantu sistem penyampaian

Hadzir menyatakan bahawa NAFAS mempunyai kekuatan logistik tersendiri termasuk kilang baja berkapasiti 300,000 metrik tan setahun yang menjadi tulang belakang kepada pelaksanaan program subsidi pertanian secara berterusan.

Lebih penting, katanya, kekuatan ini diperkukuh melalui rantaian Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang bertindak sebagai stokis dan penghubung kepada peladang di peringkat akar umbi.

Datuk Hadzir Md Zain

“Dengan struktur ini, NAFAS bukan sahaja sesuai tetapi juga layak untuk terus menerajui pelaksanaan subsidi secara sistematik dan tersusun,” katanya.

Beliau menambah, segala usaha penambahbaikan yang sedang dilaksanakan bertujuan memberi pulangan terbaik kepada peladang dan memastikan ianya dimanfaatkan sepenuhnya dengan cara yang paling berkesan.

Golongan muda, wanita perlu sebagai pelapis kepimpinan organisasi

Mengulas lebih lanjut, Hadzir menegaskan keperluan untuk memastikan kesinambungan kepimpinan pertubuhan dengan melibatkan lebih ramai generasi muda dan wanita dalam struktur organisasi.

Katanya, golongan peladang muda berpotensi membawa pembaharuan kepada sektor pertanian melalui pendekatan moden dan penggunaan teknologi.

“Saya sedih apabila turun ke kawasan, masih ramai ahli peladang berusia 70-an. Kita perlu generasi baharu yang bersedia mengambil alih peranan kepimpinan dan membawa transformasi dalam pengurusan pertanian,” katanya.

Menurut beliau, sektor pertanian kini perlu dilihat sebagai satu bidang yang berpotensi besar, dan bukan sekadar aktiviti sara diri.

“Pertanian hari ini memerlukan strategi dan perancangan yang teliti supaya setiap projek memberi manfaat jangka panjang dan menyumbang kepada kesejahteraan ahli peladang,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu bahawa, transformasi itu penting bagi memastikan institusi peladang tidak ketinggalan dalam perubahan landskap keselamatan makanan global.

“Reformasi ini bukan untuk menghukum sesiapa. Ia adalah langkah penambahbaikan untuk masa depan. Sudah tiba masa untuk NAFAS melangkah lebih jauh dan memainkan peranan lebih besar demi kemajuan sektor pertanian negara,” katanya.

Mengakhiri kenyataan, Hadzir menegaskan bahawa pelan reformasi ini merupakan satu proses pembaharuan untuk memperkukuh urus tadbir dan meningkatkan tahap akauntabiliti.

“Selagi kita anggap kerajaan akan tanggung semuanya, kita tak akan maju. Inilah masanya untuk bangkit, buktikan kemampuan sebenar dan bawa NAFAS ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau turut menyambut baik usaha kerajaan dalam menambah baik perundangan pertubuhan peladang, termasuk semakan semula terhadap Akta Pertubuhan Peladang agar kekal relevan dan responsif terhadap cabaran semasa.

Datuk Hadzir Md Zain

Sebagai rekod, perlembagaan NAFAS digantung berkuat kuasa sejak 1 November 2024 bagi memberi laluan kepada proses penambahbaikan tadbir urus secara menyeluruh.

Namun begitu, operasi NAFAS kekal berjalan seperti biasa dan urusan perniagaan, pembekalan dan pengedaran baja serta khidmat sosial dan Kebajikan kepada ahli terus dilaksanakan dan tidak terjejas.

“Dengan sokongan semua pihak, NAFAS bersedia kembali sebagai organisasi yang lebih kukuh dan berintegriti — seiring dengan matlamat transformasi untuk memperkasakan institusi peladang negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast