Foto: Biro Imigresen Polis Diraja Thailand

BANGKOK – Seorang lelaki warga Malaysia berusia 26 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, di sini, pada Rabu kerana disyaki terlibat dengan rangkaian perjudian dalam talian dan aktiviti pengubahan wang haram.

Ketua Pemeriksaan Imigresen Don Mueang, Kolonel Polis Adisak Panya berkata, pihak berkuasa menerima maklumat risikan mengenai ketibaan seorang lelaki yang dikehendaki berdasarkan waran tangkap berkaitan kes membabitkan laman sesawang perjudian terkenal.

Menurut beliau, sepasukan pegawai penyiasat dihantar untuk menunggu di pintu keluar pesawat bagi menahan suspek yang memasuki Thailand melalui lapangan terbang berkenaan.

Lelaki yang memegang pasport Malaysia itu tiba dari Kuala Lumpur dan ditahan sejurus tiba di balai ketibaan antarabangsa.

“Suspek dikehendaki berdasarkan waran yang dikeluarkan oleh Mahkamah Wilayah Nonthaburi atas pertuduhan berkaitan rangkaian perjudian dalam talian dan pengubahan wang haram.

“Lelaki itu akan disiasat atas kesalahan berkomplot menjalankan perjudian dalam talian tanpa kebenaran, bersekongkol dengan dua atau lebih individu untuk melakukan pengubahan wang haram, serta melakukan aktiviti pengubahan wang yang berpunca daripada komplot dan tindakan bersama itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Adisak turut mendedahkan bahawa suspek memiliki sebuah syarikat yang dipercayai menjadi saluran bagi pengedaran dana daripada laman sesawang perjudian, dengan jumlah urus niaga tahunan dilaporkan melebihi 11.52 bilion baht.

Suspek kemudiannya ditempatkan ke Bahagian 2, Bahagian Pencegahan Jenayah Teknologi (TCSD 2) untuk tindakan undang-undang selanjutnya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast