Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kempen Teraju Pahang 2.0 yang dibawa Pas dengan di negeri itu hanya slogan kosong tanpa membawa erti dan hala tuju sebenar kepada rakyat.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri tidak terkesan dengan slogan yang dimainkan  pembangkang kerana ia tidak menggariskan hala tuju sebenar ekoran ketandusan modal.

“Saya lihat perkara ini adalah satu permainan sentimen, persepsi, kerana mereka (Pas) kekurangan modal dan kerajaan negeri pula terus bergerak ke hadapan.

“Sehubungan dengan itu, kalau kita dengar (apa) yang ‘dinyanyikan’ oleh mereka  ‘Pas Teraju Pahang’ itu hanya slogan, tapi apa yang dimaksudkan dengan Pas Teraju Pahang? Apa yang mereka nak buat?” soalnya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang itu berkata demikian ditemui media selepas merasmikan Aspirasi Pahang 1st di Stadium Tertutup SUKPA Kuantan di sini hari ini.

Malah tegas Wan Rosdy, jika mahu diukur dengan prestasi, kerajaaan negeri terus bergerak menjaga rakyat dengan menyediakan pelbagai bantuan dan inisiatif.

Tambahnya, sepanjang menjadi Menteri Besar Pahang, beliau komited dan berjaya merekodkan pelbagai kejayaan termasuk meningkatkan ekonomi dan kebajikan kepada rakyat.

“Prestasi kerajaan negeri meningkat, boleh diukur, KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) kita adalah antara negeri terbaik mengatasi KDNK peringkat nasional.

“Jadi, rakyat jangan terpengaruhlah dengan slogan mereka, ia hanya slogan sahaja, tak nampak pun apa yang mereka nak buat,” jelasnya.

Terdahulu pada 6 Julai lalu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu memaklumkan partinya bersama komponen dalam gabungan Perikatan Nasional sudah memulakan jelajah Teraju Pahang 2.0 secara berterusan di seluruh negeri itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast