KUALA LUMPUR – Pengeluaran getah asli meningkat 24.9 peratus pada bulan Mei 2025 (22,494 tan metrik) berbanding pada bulan April 2025 (18,008 tan metrik).
Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 12.2 peratus (Mei 2024: 25,608 tan metrik).
Pengeluaran getah asli Malaysia pada Mei 2025 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (85.4%) berbanding sektor estet (14.6%).
Jumlah stok getah asli pada Mei 2025 menurun 11.4 peratus kepada 180,569 tan metrik berbanding 203,708 tan metrik pada April 2025.
Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 86.1 peratus diikuti kilang pengguna getah (13.7%) dan estet getah (0.2%).
Eksport getah asli Malaysia berjumlah 35,939 tan metrik pada Mei 2025, meningkat 0.1 peratus berbanding April 2025 (35,901 tan metrik).
China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu menyumbang 31.7 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Mei 2025 diikuti Jerman (15.8%), Emiriah Arab Bersatu (14.0%), Amerika Syarikat (8.1%) dan India (6.6%).
Harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan penurunan iaitu 5.2 peratus (Mei 2025: 613.80 sen sekilogram; April 2025: 647.20 sen sekilogram) manakala sekerap menurun sebanyak 5.4 peratus (Mei 2025: 606.67 sen sekilogram; April 2025: 641.27 sen sekilogram). – MalaysiaGazette















