Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang menerima Buku Simposium Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi daripada Naib Canselor UPTM, Profesor Dr Sharifah Syahirah Sy Sheikh pada Majlis Perasmian Simposium Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi di Hotel Primiera, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 10 JULAI 2025

KUALA LUMPUR – Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) semalam telah menganjurkan Simposium Pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai tanda penghormatan terhadap kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-5.

Perasmian yang telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri di Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW).

Penganjuran simposium bertujuan untuk memberi tumpuan kepada usaha mengenang dan memahami warisan kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi khususnya dalam memperkenalkan dasar-dasar utama negara yang berlandaskan nilai kesederhanaan, pembangunan insan dan perpaduan, katanya dalam kenyataan.

Menghimpunkan tokoh negarawan dari pelbagai latar belakang dari bidang pendidikan, politik, media dan sains sosial seperti Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Bandar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Pengarah Institut Pembangunan & Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Tan Sri Noor Azlan bin Ghazali, Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa dan Editor Kanan ASTRO, Nazri Kahar.

“Amnya, forum ini turut menjadi wadah untuk mendalami penekanan terhadap nilai integriti dalam pentadbiran dengan tujuan membudayakan tadbir urus yang telus dan berlandaskan tanggungjawab.

“Hasil daripada perbincangan dan dapatan simposium ini, sebuah buku berindeks akan diterbitkan sebagai rujukan ilmiah dan dokumentasi wacana pemikiran Tun Abdullah Ahmad Badawi,” kata kenyataan sama.

Kerjasama Strategik UPTM Perkasa Bidang Perakaunan

Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) juga telah melakukan jalinan kerjasama melalui pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) dan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YP).

Kerjasama berkenaan dapat memberi manfaat dengan menyediakan laluan latihan akademik dan profesional bagi pelajar yang mengikuti kelayakan perakaunan profesional.

Tambahan, sokongan kewangan termasuk tajaan biasiswa untuk pelajar yang layak menjadikan ia sebagai satu inisiatif pembangunan pelajar dalam meningkatkan bilangan akauntan profesional bertauliah bumiputera.

“Usaha itu juga mampu menyokong ekosistem Pembangunan Profesional Berterusan dan meningkatkan kebolehpasaran profesional graduan UPTM,” katanya.

Melalui kerjasama UPTM bersama MyPAC, bantuan pengajian akan diberikan keutamaan kepada pelajar dalam kumpulan berpendapatan rendah B40 yang berpotensi besar menjadi akauntan profesional sekaligus dapat membantu merubah ekonomi keluarga. T

ajaan biasiswa ini juga akan diberikan kepada pelajar yang terpilih untuk melanjutkan pengajian program ACCA di UPTM.

MyPAC diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Zaiton Mohd Hassan menyempurnakan sesi pertukaran MoU tersebut bersama Naib Canselor UPTM, Prof. Madya Dr. Sharifah Syahirah.

Dalam pada itu, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YP) merupakan bantuan tajaan (bukan biasiswa) dalam bentuk pinjaman bersyarat kepada pelajar yang melanjutkan program ACCA di UPTM melalui kemasukan ACCA-FIA dan matrikulasi pada tahun 2025.

YP turut diwakili Naib Presiden Eksekutif, Strategik, Zatul Rawihah Omar.

“Melalui jaringan dua hubungan korporat ini, UPTM berharap dapat memberi manfaat besar kepada para pelajar khususnya dalam pendedahan kepada industri, bantuan kewangan dan mewujudkan model pembangunan bakat yang mampan dalam bidang perakaunan selain memperkukuhkan kelestarian status ACCA Platinum UPTM,” katanya.

UPTM – MATRADE tumpu Pembangunan Eksport Bumiputera

Satu lagi kerjasama strategik bakal dijalinkan antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) bagi melaksanakan penyelidikan yang menumpukan kepada pembangunan eksport bumiputera.

Kerjasama merangkumi tiga fokus utama iaitu merancang dan melaksanakan projek penyelidikan yang menyokong pertumbuhan eksport bumiputera, menjalin kerjasama dalam pembentukan dasar serta program pembangunan kapasiti perdagangan yang lebih inklusif serta berkongsi pengetahuan dan kepakaran bagi mencapai hasil yang mampan dan berimpak tinggi kepada ekonomi negara.

UPTM terus komited memainkan peranan aktif dalam usaha ini melalui kepakaran dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pendidikan selaras dengan matlamat utama untuk memperkasa penyertaan Bumiputera dalam perdagangan global.

Pertukaran Letter of Intent (Lol) ini disempurnakan oleh Reezal Merican dan disaksikan oleh tetamu kehormat dan ratusan hadirin lain dalam meraikan usahasama ini.

UPTM komited untuk menjadi salah satu penyumbang kepada ekosistem eksport Bumiputera yang lebih kompetitif, progresif dan mampan, serta memperkukuh peranan institusi pendidikan tinggi dalam menyokong agenda pembangunan ekonomi negara.

UPTM, Kampus Pertama 100 peratus Smart Classroom Dengan Panel AI

Perlaksanaan 100 peratus bilik kuliah pintar (Smart Classroom) yang memakan peruntukkan sekurang-kurangnya berjumlah RM6.6 juta dari Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026.

Ia perlu bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap program-program pengajian di UPTM.

Selain itu, inisiatif itu adalah satu transformasi pendidikan yang relevan bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran dan selari dengan agenda pendigitalan pendidikan di UPTM.

Satu video montaj disempurnakan oleh Ahmad Zahid sebagai simbolik tanda penghargaan kepada MCMC bagi pelaksanaan naiktaraf 67 buah bilik kuliah dengan kemudahan Smart Classroom dengan panel AI.

Timbalan Pengarah Urusan MCMC, Datuk Zurkarnain Mohd Yasin menyatakan kompenen utama Bilik Kuliah Pintar ini akan dilengkapi dengan kompenen Panel Interaktif AI, sokongan alat komputer berteknologi tinggi dan jaringan internet berkelajuan tinggi untuk seluruh kampus UPTM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast