KUALA LUMPUR – Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) Tahun 2025 akan dilaksanakan pada 15, 16 dan 17 Julai 2025 melibatkan tiga mata pelajaran, iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik.
Seramai 10,049 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPMU Tahun 2025 di 186 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan tersebut, seramai 1,454 petugas peperiksaan telah dilantik untuk Ujian Bertulis dan Ujian Mendengar Bahasa Melayu serta 1,202 petugas peperiksaan untuk Ujian Bertutur Bahasa Melayu.
“KPM mengingatkan semua calon peperiksaan SPMU Tahun 2025 untuk merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, sertaarahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.
“Jadual waktu peperiksaan SPMU Tahun 2025 boleh dimuat turun dari portal rasmi Lembaga Peperiksaan melalui pautan lp.moe.gov.my,” katanya dalam kenyataan di sini.
KPM turut mengingatkan calon supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.
Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan boleh dimuat turun dari Sistem Pengurusan Peperiksaan Atas Talian melalui pautan sppat.moe.gov.my.
Calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan SPMU Tahun 2025.
“KPM mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera,” ujarnya. – MalaysiaGazette













