Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Azalina (tengah) sebelum perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pengerang di Lotus Desaru Beach Resort, Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Semua pihak perlu menunggu Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 yang bersidang pada pertembungan bulan ini selesai sebelum meminta pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan disegerakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasil Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tindakan tersebut selaras dengan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan mengenai pelantikan jawatan berkenaan.

“Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa pelantikan kekosongan jawatan badan kehakiman negara dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

“Jadi kita tunggu minggu depan selepas Mesyuarat Majlis Raja-Raja selesai bersidang,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengerang.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pengerang di Lotus Desaru Beach Resort di sini hari ini.

Majlis Raja-Raja dilaporkan akan bersidang bagi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 pada 15 hingga 17 Julai ini bagi membincangkan mengenai kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

Rabu lalu, Azalina dilaporkan berkata, Jemaah Menteri memberi jaminan pengisian kekosongan jawatan akan dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

Semalam, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) dilaporkan menggesa pelantikan pengganti bagi jawatan tertinggi dalam badan kehakiman negara perlu disegerakan berikutan beberapa hakim kanan sudah dan bakal bersara dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Pembela, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dilaporkan berkata, meskipun proses pelantikan perlu mematuhi lunas undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, kerajaan sepatutnya sudah lama mengambil tindakan sewajarnya memandangkan persaraan beberapa hakim kanan sudah diketahui awal.

Pembela turut menuntut penjelasan beberapa isu antaranya mengenai ketiadaan lanjutan tempoh bagi Ketua Hakim dan Presiden Mahkamah Persekutuan.- MalaysiaGazette

 

Caption gambar: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Azalina (tengah) sebelum perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pengerang di Lotus Desaru Beach Resort, Kota Tinggi hari ini.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast