ALOR GAJAH – Tindakan ganas seorang lelaki bersenjatakan pisau dan parang dalam empat siri kejadian samun dan ugutan di sekitar daerah ini semalam berakhir apabila dia diberkas polis dalam satu operasi pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, suspek lelaki berusia 40 tahun ditahan selepas polis melancarkan Ops Kesan hasil laporan dibuat mangsa.
Menurutnya, kejadian pertama berlaku di sebuah pasar mini di Taman Mutiara di sini pada jam 11.39 malam apabila suspek mengugut kakitangan pasar mini berkenaan.
“Suspek kemudian membaling batu ke arah pintu cermin dan mengacukan pisau ke arah petugas sebuah stesen minyak di Kelemak pada jam 3.47 pagi.
“Lelaki itu seterusnya menyerang seorang penunggang motosikal lelaki menggunakan pisau menyebabkan mangsa cedera berhampiran lokasi sama enam minit kemudian,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Tambahnya, suspek kemudian melakukan samun arak dengan bersenjatakan parang di KK Mart Pekan Alor Gajah pada jam 4 pagi
Menurutnya, bertindak hasil laporan polis, pihaknya melancarkan Ops Kesan dan berjaya menahan suspek kira-kira jam 11.15 pagi di Kelemak.
“Polis turut merampas senjata digunakan dalam kejadian tersebut dan semakan lanjut mendapati suspek yang mempunyai rekod pesakit mental sudah seminggu tidak mengambil ubat.
“Suspek juga mempunyai 12 rekod lampau iaitu enam jenayah dan enam kes dadah dan hasil ujian saringan air kencing mendapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 506, 392 dan 394 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















