KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ditahan polis selepas disyaki mencuri dua peket sos lada hitam dan dua peket mayonis bernilai RM41 dari sebuah pasar raya di Bandar Seri Jempol pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Norhisham Mustapar berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7 malam selepas suspek dilihat kerap keluar masuk premis sambil membawa beg sandang.
“Hasil pemeriksaan di dalam beg terdapat dua peket sos lada hitam dan dua peket mayonis yang masih belum dibuat pembayaran.
“Suspek ditahan oleh pengawal keselamatan sebelum sepasang suami isteri yang mengaku sebagai ibu bapanya tiba dan mendesak agar anak mereka dibebaskan.
“Berlaku pergelutan antara pasangan itu dan pengawal keselamatan sebelum mereka melarikan diri menaiki Toyota Avanza,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan polis pukul 1 tengah hari semalam.
Norhisham memaklumkan, siasatan awal mendapati remaja terbabit masih bersekolah dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas percakapannya dirakam.
Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955. – MalaysiaGazette















