GEORGE TOWN – Polis menumpaskan kegiatan sepasang kekasih mengedar ganja yang dibawa masuk dari negara jiran menerusi satu operasi di Pulau Tikus dan Tanjong Tokong di sini pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, lelaki tempatan dan wanita warga Thailand yang masing-masing berusia 25 dan 20 tahun itu ditahan di tepi jalan di kawasan tersebut kira-kira pukul 9.30 malam.
“Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada hasil penahanan tersebut, pasukan polis kemudian telah dibawa ke sebuah rumah di Tanjong Tokong sebelum melakukan rampasan dadah disyaki ganja.
“Pemeriksaan lanjut di premis berkenaan membawa kepada penemuan sebanyak 15 ketulan mampat daun kering dibalut plastik lutsinar dipercayai ganja dengan anggaran berat 8.2 kilogram.
“Nilai rampasan dadah tersebut dianggarkan berjumlah RM25,420 selain tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 membabitkan rampasan dan sitaan berjumlah RM46,890.
“Hasil risikan mendapati mereka aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sejak awal tahun ini bagi memenuhi permintaan di kawasan tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini hari ini.
Tambah beliau, pasangan itu dipercayai memperoleh bekalan dari negara jiran sebelum diedarkan di negeri ini.
“Selain itu, ujian saringan awal mendapati suspek lelaki itu positif dadah serta mempunyai empat rekod jenayah lampau.
“Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 17 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette
















