KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis telah menahan reman dua orang penjawat awam termasuk seorang pesara di sebuah jabatan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM70,000 sebagai balasan memudahkan proses kelulusan permit ubah suai rumah di sekitar negeri ini.

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 21 Julai ini terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Ana Rozana Mohd Nor selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kangar, Perlis, pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek yang merupakan seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30 dan 60-an itu telah ditahan kira-kira jam 1.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perlis.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut dari tahun 2022 hingga 2024.

“Kedua-dua suspek dipercayai menerima wang rasuah kira-kira antara RM300 hingga RM9,000 bagi setiap permohonan sepanjang tahun 2022 hingga 2024 dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM70,000 melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi suspek lelaki yang kemudiannya di kongsikan bersama suspek wanita,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast