Foto: FB Chang Lih Kang

KUALA LUMPUR – Kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin canggih telah menimbulkan persoalan besar tentang bagaimana ia akan membentuk semula landskap pekerjaan dan ekonomi negara.

Dengan keupayaan menghasilkan teks, imej, muzik malah kod komputer, ramai tertanya-tanya adakah pekerjaan manusia bakal digantikan sepenuhnya dengan teknologi tersebut.

Bagaimanapun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang menjawab kepada persoalan tersebut adalah tidak semudah itu untuk AI menggantikan sepenuhnya tenaga kerja manusia.

Ini kerana, jelas beliau, teknologi AI ialah sekadar alat sokongan, bukannya ancaman dan nilai insani seperti empati, kreativiti dan kepimpinan tetap menjadi kelebihan rakyat yang tidak boleh digantikan oleh mesin.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat supaya tidak gentar dengan kecanggihan AI, sebaliknya merebut peluang untuk menguasai kemahiran digital, automasi dan sains data demi kekal relevan dalam pasaran kerja masa depan.

Dalam masa sama, ujarnya, kerajaan akan terus memperkukuh latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling), termasuk memperluas program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) supaya tiada rakyat tercicir dalam era digital.

“Masa depan bukan tentang persaingan, tetapi kerjasama antara manusia dan teknologi demi kemajuan negara yang lebih cekap dan inklusif,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sehubungan itu, Lih Kang menggesa supaya rakyat tidak takut terhadap perubahan dunia yang sedang menyaksikan perkembangan teknologi AI ketika ini.

“Dengan ilmu, kemahiran dan kerjasama rakyat serta kerajaan, saya yakin Malaysia mampu menjadikan AI sebagai pemacu kemajuan untuk semua.

“Masa depan milik mereka yang bersedia dan rakyat Malaysia pasti bersedia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast