Seorang kerani wanita sebuah syarikat pelancongan di ibu negara direman tujuh hari bermula hari ini selepas disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu berhubung tuntutan bayaran kad kredit syarikat bagi tempahan hotel berjumlah kira-kira RM55,000 untuk kepentingan peribadi.

KUALA LUMPUR – Seorang kerani wanita sebuah syarikat pelancongan di ibu negara direman tujuh hari bermula hari ini selepas disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu berhubung tuntutan bayaran kad kredit syarikat bagi tempahan hotel berjumlah kira-kira RM55,000 untuk kepentingan peribadi.

Perintah reman terhadap suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an itu dikeluarkan Majistret Fairuz Syuhada Amran di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pagi tadi.

Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira jam 9.30 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut dari Mac 2023 hingga Februari 2024.

“Suspek dipercayai mengemukakan dokumen tuntutan bayaran kad kredit syarikat yang mengandungi maklumat palsu berkaitan tempahan hotel atas urusan rasmi, namun digunakan untuk tujuan peribadi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast