Enam individu termasuk pasangan suami isteri pengasas program eHati direman susulan penganjuran program motivasi rumah tangga yang didakwa songsang ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 16 JULAI 2025.

SHAH ALAM – Enam individu termasuk pasangan suami isteri pengasas program motivasi rumah tangga, Ehati International Sdn Bhd (eHati) dan seorang anak perempuan mereka direman tiga hari oleh Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini.

Majistret Ameera Mastura Khamis mengeluarkan perintah reman sehingga 18 Julai depan selepas membenarkan permohonan pihak polis terhadap kesemua suspek yang berusia 26 hingga 47 tahun.

Kesemua suspek melibatkan empat wanita dan dua lelaki akan disiasat mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan iaitu berkelakuan tidak senonoh, Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu mengaibkan kehormatan seseorang serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.

Semalam, peguam, Datuk M Reza Hassan mengesahkan, anak guamnya ditahan polis daerah Shah Alam selepas memberi kenyataan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya.

Sebelum ini media melaporkan, polis menerima laporan berkaitan program motivasi rumah tangga yang didakwa songsang dan terpesong di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam, Selangor pada September lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim dilaporkan berkata, semakan mendapati laporan itu dibuat seorang ejen insurans berusia 39 tahun yang merupakan suami kepada salah seorang peserta program tersebut. – MalaysiaGazette

Berita lanjut menyusul .

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast