Dzulkhairi (tengah) menunjukkan pistol pistol mainan menyerupai senjata api sebenar yang turut menyasarkan penjualan kepada pelajar sekolah di negeri ini sejak awal tahun ini selepas menyerbu sebuah premis perniagaan di Taman Teknologi Cheng, Melaka, semalam.

MELAKA – Polis Melaka menumpaskan kegiatan penjualan pistol mainan menyerupai senjata api sebenar yang turut menyasarkan penjualan kepada pelajar sekolah sejak awal tahun ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, ia selepas pihaknya berjaya merampas 351 pucuk pistol mainan dalam satu serbuan di sebuah premis perniagaan di Taman Teknologi Cheng, semalam.

Dzulkhairi menunjukkan pistol mainan yang dirampas.

“Hasil pemeriksaan polis menjumpai 351 pucuk pistol tiruan menyerupai pistol sebenar yang dibeli dari utara tanah air pada harga antara RM20 hingga RM30 sepucuk sebelum dijual sehingga RM300 menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM105,300.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan penjualannya turut disasarkan kepada pelajar kerana ada juga kes-kes guru menjumpai pistol begini dalam beg sekolah dengan alasan untuk menembak cicak.

“Turut dirampas adalah dua kotak mengandungi peluru plastik disimpan di dalam stor di belakang premis berkenaan yang tidak mempunyai sebarang lesen atau permit sah untuk mengimport dan menyimpan senjata mainan tersebut,” katanya.

Dzulkhairi Mukhtar

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Taman Melaka Baru, di sini, hari.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam serbuan itu, polis turut menahan seorang lelaki berumur 42 tahun yang merupakan penjaga premis berkenaan.

“Siasatan mendapati, penjualan dilakukan secara dalam talian ataupun secara ‘walk in’ kepada pelanggan tertentu kerana premis turut menjual alat permainan lain,” tambahnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM5,000, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast