KUALA LUMPUR – Kalau setakat hendak mengumumkan pemberian tunai, ia bukan sesuatu yang luar biasa.
Walaupun, ada orang jangka, perdana menteri mahu mengumumkan pemberian e-wallet tetapi itu juga bukan luar biasa sebab Lim Guan Eng semasa jadi Menteri Kewangan dulu pernah buat.
Pemerhati politik, Azizi Safar berkata, dalam bahasa Melayu, maksud “luar biasa” ialah sesuatu yang tidak biasa, istimewa, atau berlainan daripada yang lain; yang melebihi tahap biasa atau normal.
Katanya, setakat ini yang luar biasanya adalah cara bagaimana Unit Komunikasi Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengumumkan Anwar hendak beri penghargaan luar biasa kepada rakyat Malaysia.

“Setelah hari-hari kena hentam, dan sana sini ada desakan supaya dia turun, dia akan umumkan penghargaan luar biasa kepada rakyat Malaysia.
“Teknik pemasaran yang tidak luar biasa jika dibuat oleh perniagaan … tapi sesuatu yang luar biasa bagi PMO.
“Kalau perniagaan buat, orang anggap itu biasa; usaha nak tarik perhatian, jana jualan.
“Tapi bila teknik sama diguna oleh institusi seperti PMO, ia mungkin langkah strategik mengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu yang sedang panas dalam negara,” ujarnya dalam tulisannya di Facebook.
Dakwa Azizi, ada orang kata: “Bila orang marketing dah jadi Penasihat Media dan Komunikasi Strategik PMO, kempen PMO dah ala ‘launch produk Apple’. – MalaysiaGazette















