JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga asing ditahan untuk membantu siasatan kes kematian seorang lelaki yang ditembak mati di sebuah kedai makan di Taman Setia Indah, di sini, awal tahun ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki berusia 65 tahun itu ditahan sekitar bandar raya ini pukul 4.30 petang semalam.
“Lelaki warga emas ini kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Selasa depan bagi membantu siasatan lanjut dijalankan.
“Ini merupakan tangkapan baharu. Kita masih lagi menjalankan siasatan untuk mengesahkan pembabitan dalam kes ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pasa 8 Januari lalu, seorang lelaki berusia 40 tahun maut ditembak ketika makan bersama-sama rakannya di sebuah restoran di Taman Setia Indah.
Susulan kejadian itu, sembilan suspek berusia 36 hingga 66 tahun dipercayai ahli kongsi gelap ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kematian lelaki berkenaan.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar dilaporkan berkata, kesemua ditahan menerusi beberapa operasi berasingan di sekitar bandar raya ini pada 8 dan 17 Mac lalu.
Beliau berkata, sebelum tangkapan sembilan lelaki terbabit, seorang lagi suspek berumur 64 tahun dipercayai terlibat dalam insiden pembunuhan itu telah ditembak mati oleh polis ketika operasi pertama dijalankan.
Menerusi serbuan tersebut juga, polis merampas dua pucuk pistol, peluru, dadah dan pistol angin dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api, Seksyen 8(a) sert Seksyen 36 Akta Senjata 1960.
Siasatan awal mendapati kes tembak tersebut dipercayai berpunca daripada kegiatan kongsi gelap dan dendam.
Menurut Raub, sembilan suspek yang ditahan itu telah dibebaskan sebelum ini.
“Kes telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya dan berkeputusan dibebaskan,” katanya ringkas.- MalaysiaGazette
















