Kapal EX-USCG Cutter Steadfast. - Foto: Maritim Malaysia

KUALA LUMPUR – Detik bersejarah bakal tercipta apabila seramai 46 anggota penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan berlepas ke Baltimore, Amerika Syarikat (AS) esok, bagi menjalankan misi penting membawa pulang kapal EX-USCG Cutter Steadfast ke tanah air.

Pasukan itu merupakan kru pertama bagi kapal berkenaan yang bakal menjadi asset baharu Maritim Malaysia, sekali gus memperkukuh keupayaan penguatkuasaan maritim negara khususnya di perairan Laut China Selatan.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah dalam satu sesi amanat khas bersama kru terbabit semalam menyifatkan misi itu sebagai lipatan sejarah yang membanggakan bukan sahaja kepada agensi tersebut, tetapi buat Malaysia.

“Misi ini bukan sekadar pelayaran biasa. Ia simbol pengiktirafan antarabangsa kepada keupayaan dan profesionalisme Maritim Malaysia.

“Jaga nama baik negara, kekalkan integriti dan tunjukkan disiplin tinggi sepanjang anda semua berada di sana,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Datuk Mohd Rosli Abdullah dalam pertemuan bersama anggota Maritim Malaysia di Putrajaya, semalam. – Foto: Maritim Malaysia

Dalam ucapan sama, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail atas kelulusan dalam proses penerimaan kapal itu daripada pihak US Coast Guard.

“Tanpa sokongan padu kerajaan, misi sebegini tidak akan menjadi kenyataan. Ini bukti bahawa kepimpinan negara sentiasa mendukung pengukuhan keselamatan maritim Malaysia,” tambahnya.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia, Nor Hisham Ibrahim serta Pengarah-pengarah Bahagian Ibu Pejabat Maritim Malaysia.

Untuk rekod, seramai empat kru Maritim Malaysia telah berada di Baltimore sejak Mei lalu bagi menjalani latihan penyesuaian dan pemeriksaan teknikal ke atas kapal berkenaan sebagai persiapan awal sebelum pelayaran pulang.

Kapal EX-USCG Cutter Steadfast memiliki saiz 64.14 meter panjang dan 10 meter lebar, serta mampu mencapai kelajuan sehingga 18 knots.

Kapal EX-USCG Cutter Steadfast. – Foto: Maritim Malaysia

Kapal berkenaan dijangka akan tiba di Malaysia pada pertengahan November depan.

Sementara itu, mengulas kenyataan Saifuddin Nasution pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam yang mengharapkan penjawat awam mempunyai kompetensi dan kemahiran dalam menjalankan tugas di samping melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah, beliau menyifatkan ia adalah perkara penting yang ditanamkan dalam diri setiap pegawai dan anggota Maritim Malaysia.

“Perkara tersebut perlu ada kepada setiap Penguat Kuasa Maritim Malaysia, ini kerana tanpa kompetensi dan kemahiran, aset agensi tidak dapat diuruskan dengan sebaiknya.

“Jika amanah tidak dijadikan teras utama, maka perairan negara akan dipenuhi dengan ancaman jenayah maritim sekali gus membahayakan kepada negara,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast