PEKAN – Seorang pemandu e-Hailing nyaris maut apabila kereta dipandunya terlanggar seekor lembu yang melintas secara tiba-tiba di Kilometer 16, Jalan Chini/ Kuantan, di sini.
Menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 5.50 pagi tadi.
“Ketika kejadian, mangsa merupakan seorang wanita berusia 37 tahun memandu kereta jenis Proton Saga BLM dari arah Gambang menghala ke Chini.
“Siasatan awal mendapati, seekor lembu tiba-tiba melintas dari arah kanan jalan ketika mangsa tiba di lokasi kejadian dan mangsa tidak sempat mengelak mengakibatkan berlaku kemalangan,” katanya dalam kenyataan.
Ekoran rempuhan itu, Mohd Zaidi berkata, kenderaan terbabit mengalami pelbagai kerosakan seperti kedua-dua lampu hadapan, bonet hadapan, radiator, cermin besar pecah, pintu hadapan sebelah kiri rosak termasuk frame chasis.
Bagaimanapun, pemandu kereta yang beralamat dari Bandar Sri Bandi, Terengganu itu selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kemalangan tersebut. – MalaysiaGazette
















