KUALA LUMPUR – Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) akan mengadakan program larian Run BIM 2025 di Giant Bandar Kinrara, Puchong dekat sini pada 28 September depan.

Run BIM atau Larian Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) berkonsepkan santai sejauh lima kilometer itu antara lain bagi mengumpulkan seberapa ramai komuniti pekak dari seluruh negara agar dapat berinteraksi dengan masyarakat umum.

Pengarah Eksekutif MFD, Mohamad Sazali Shaari memberitahu, program itu amat penting kerana melalui aktiviti riadah akan dapat merapatkan jurang antara warga pekak dengan orang ramai.

Mohamad Sazali

Jelasnya, larian itu juga terbuka kepada masyarakat umum dan beberapa aktiviti sampingan turut diadakan yang dikendalikan oleh orang pekak.

“Melalui program ini, MFD berharap masyarakat umum akan turut serta untuk mengenali serta berinteraksi dengan orang pekak. Masyarakat umum boleh mempelajari bahasa isyarat dari orang pekak semasa program berlangsung.

“Sempena program ini juga beberapa kios akan dibuka termasuk jualan barangan yang dihasilkan oleh warga pekak seperti buku poket bahasa isyarat,” katanya ketika diwawancara dan diterjemahkan melalui jurubahasa isyarat.

Mohamad Sazali berkata, penganjuran larian itu diharap dapat memupuk kerjasama serta persefahaman antara orang pekak dengan masyarakat umum.

Menurutnya, pada program tersebut, peserta juga akan diberikan medal serta baju T khas selain peluang untuk meraih pelbagai hadiah dari cabutan bertuah seperti barangan elektrik dan sebagainya.

Kepada warga pekak dan ahli keluarga mereka serta masyarakat umum, mereka yang berminat menyertai larian tersebut boleh mengimbas kod QR yang tertera pada poster larian.

Selain itu, mana-mana pihak yang ingin menyumbang tajaan terutama dengan kadar melebihi RM500 akan diberikan resit pengecualian cukai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast