KUALA LUMPUR – Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk TS Azizee Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang manakala Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur, Datuk Shazeli Kahar dilantik sebagai Ketua Polis Selangor.
Timbalan Pengarah Risikan/ Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus pula dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kedah Adzli Abu Shah dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Kedah manakala Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/Perjawatan) Bukit Aman, Ab Rahaman Arsad dilantik sebagai Ketua Polis Johor.
Setiausaha Polis Malaysia PDRM, SAC Datuk Kamaruzaman Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata, kelima-lima pegawai kanan terbabit memangku pangkat Komisioner Polis (CP).
Tambahnya, kesemua pelantikan tersebut berkuatkuasa 18 Julai 2025.
Dalam kenyataan media yang sama, PDRM turut mengumumkan 18 lagi pertukaran pegawai kanan termasuk pelantikan Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman, Datuk Mohd Shukri Kaman sebagai Timbalan Pengarah Risikan/ Operasi JSJ Bukit Aman dengan memangku pangkat Timbalan Komisioner Polis (DCP). -MalaysiaGazette















