Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man

KUANTAN – Pas mendakwa rakyat Pahang sudah bersedia memilih Perikatan Nasional (PN) sebagai pemerintah negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.

Menurut Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, sokongan rakyat terhadap Pas dan Perikatan Nasional (PN) di negeri ini semakin jelas menunjukkan peningkatan yang ketara.

“Perkembangan ini bukan sahaja dilihat melalui kehadiran yang memberangsangkan dalam pelbagai program akar umbi, tetapi turut disokong oleh kajian bebas dan dapatan pemerhatian di lapangan.

“Bukan sekadar itu sahaja, kita juga dapat melihat bahawa rakyat sudah semakin menolak apa sahaja cakap-cakap atau penjelasan dari kerajaan dalam sesuatu isu,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka itu juga mendakwa pola penolakan dalam kalangan pengundi muda, penjawat awam dan masyarakat luar bandar terhadap kerajaan negeri gabungan UMNO-Pakatan Harapan (PH) kini dilihat semakin ketara.

Perkembangan itu katanya mengakibatkan kerajaan negeri sedaya upaya cuba membuktikan bahawa mereka adalah kerajaan yang kompeten.

Pengumuman Menteri Besar bahawa Pahang mencatat jumlah pelaburan direalisasikan tertinggi di Pantai Timur baru-baru ini juga dikatakan tidak selari dengan situasi semasa keadaan rakyat di negeri ini.

“Sepatutnya, pelaburan tinggi mampu menjadikan rakyat Pahang menikmati taraf hidup yang tinggi dan lebih baik.

“Namun jika dilihat pada realiti, Kerajaan Negeri Pahang masih gagal menyelesaikan isu asas seperti kos sara hidup, tekanan ekonomi, peluang pekerjaan dan bekalan air di kawasan luar bandar yang menyebabkan rakyat berasa terpinggir.

“Apakah ini yang Kerajaan Negeri Pahang banggakan?,” soalnya.

Beliau sekaligus mendakwa Kerajaan MADANI yang dibentuk daripada gabungan PH dan UMNO gagal untuk menyantuni suara rakyat secara menyeluruh.

Menyedari hakikat itu, Tuan Ibrahim berkata, PAS dan PN akan terus mendekati rakyat dengan pendekatan yang lebih jujur dan berprinsip, menawarkan solusi Islamik, dasar berpaksikan rakyat dan urus tadbir yang bersih. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

Comments are closed.