KUANTAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Pahang menafikan terdapat permit perjalanan sementara dikeluarkan bagi tujuan pemeriksaan kenderaan yang menggunakan nama dan tandatangan Pengarah JPJ Negeri Pahang.
JPJ Negeri Pahang dalam kenyataannya hari ini memaklumkan permit berkenaan hanya boleh dibuat di kaunter JPJ negeri atau cawangan sahaja tanpa memerlukan tandatangan Pengarah.
“Jabatan ini telah mengesan dokumen palsu yang menyalahgunakan nama jabatan dan nama jawatan Pengarah JPJ Negeri Pahang dalam urusan perkhidmatan.
“Jabatan ini juga menegaskan bahawa permit yang dikesan atas nama jawatan Pengarah JPJ Negeri Pahang tersebut adalah palsu,” katanya.
Justeru, katanya, satu laporan polis mengenai kejadian itu telah dibuat pada Jumaat untuk tindakan selanjutnya.
“JPJ Negeri Pahang amat serius dalam menangani isu pemalsuan dokumen dan penyalahgunaan nama. Tindakan undang-undang yang tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat demi menjaga kepentingan awam,” kata kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette
















