Lokasi kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun dilaporkan lemas di kolam renang rumah inap sebuah kondominium di Taman Kota Shahbandar, Kota Laksamana, Melaka, pagi tadi.

MELAKA – “Selepas kira-kira empat minit orang ramai cuba berikan bantuan pernafasan CPR kepada budak lelaki yang lemas itu, tiba-tiba seorang wanita mungkin ibunya meraung sambil berlari menerpa ke arah anaknya yang sudah terbaring kebiru-biruan.

“Waktu itu saya nampak banyak air keluar dari mulutnya namun masih tidak dapat diselamatkan sebelum saya segera menghubungi talian kecemasan dalam keadaan menggigil dan menangis,”.

Itu diceritakan Fatin Aainna Zahed, 33, saksi kejadian mangsa lemas di kolam renang rumah inap sebuah kondominium di Taman Kota Shahbandar, Kota Laksamana, di sini pagi tadi.

Menurut wanita itu, kejadian berlaku sekitar 9.40 pagi selepas dia dan suami, Mohamad Ezzany Mohd Farid, 33, yang bercuti di Melaka dari Kluang, Johor semalam membawa anaknya turun dari untuk mandi di kolam renang.

“Saya duduk di kerusi antara kolam renang dewasa berkedalaman 1.2 meter dan kolam kanak-kanak sebelum tiba-tiba terkejut melihat orang ramai mengerumuni mangsa.

“Bila datang dekat, saya menggigil melihat budak lelaki berumur tujuh tahun itu dalam keadaan badannya sudah kebiru-biruan dan banyak air keluar dari mulutnya ketika orang ramai memberikan bantuan CPR,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Menurutnya, dia yang tidak dapat menahan hiba dan menangis kemudian memanggil suaminya yang berada tidak jauh dari situ untuk membantu dan menghubungi talian kecemasan 999 sebelum bomba dan ambulans tiba tidak lama kemudian.

“Ketika itu, budak masih tidak sedarkan diri dan bomba turut cuba menggunakan alat defibrilator kejutan elektrik di dada, namun kanak-kanak itu masih tidak memberikan sebarang reaksi.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital menaiki ambulans dan saya diberitahu pihak polis kanak-kanak itu sudah meninggal dunia ketika polis menghubungi suami untuk mendapatkan butiran lanjut,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast