KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menyindir penyokong Kerajaan Perpaduan yang seolah-olah tidak senang duduk dengan pertemuan tidak formal antara pemimpin parti blok pembangkang baru-baru ini.
Sedangkan, menurutnya, pertemuan itu lebih kepada sembang santai bagi mendapatkan maklum balas ketua-ketua parti bukan kerajaan berhubung isu-isu semasa dalam negara.
Jelas beliau, perbincangan juga menjurus kepada idea bagi menubuhkan sebuah barisan rentas parti yang boleh memainkan peranan semak dan imbang serta mengambil pendirian bersama dalam hal-hal berkepentingan rakyat dan negara.
“Maklum balas yang saya terima mengenai pertemuan ini amat positif, khususnya dalam kalangan rakyat.
“Negara kini berdepan krisis ekonomi dan kewangan, manakala rakyat dan golongan peniaga terus terbeban dengan dasar-dasar kerajaan yang menekan.
“Pada masa yang sama, terdapat juga pihak-pihak yang dipinggirkan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.
Jumaat lalu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan mengadakan pertemuan dengan seramai 11 ketua parti blok bukan kerajaan bagi membincangkan cadangan penubuhan sebuah barisan rentas parti dalam kalangan parti pembangkang.
Antara yang hadir termasuk Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau; Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali dan Presiden Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P. Ramasamy.
Bagaimanapun, pertemuan berkenaan mencetuskan polemik apabila tiada wakil Pas terlibat, namun Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad menjelaskan pemimpin parti itu tidak dapat hadir kerana terikat dengan program lain di Kedah, meskipun maklum berkenaan pertemuan terbabit.
Sementara itu, Tun Faisal Ismail berkata, secara peribadi, beliau menyifatkan pertemuan yang dicetuskan Muhyiddin tersebut merupakan permulaan inisiatif penting dan inklusif bagi menghimpunkan seberapa ramai pihak ke meja perbincangan demi memperjuangkan pelbagai isu dalam negara secara kolektif.
Sehubungan itu, ujarnya, dalam usaha murni dan bersifat inklusif tersebut, penyertaan seramai mungkin pihak adalah amat dialu-alukan supaya sebanyak mungkin idea bernas dapat dikumpulkan.
“Sudah tentu dalam hal ini, semua parti dijemput, terutama rakan-rakan komponen Perikatan Nasional (PN), termasuk Pas.
“Begitupun, memandangkan pertemuan ini bersifat santai dan tidak mengikat, ketiadaan Pas dalam pertemuan semalam difahami, lebih-lebih lagi Pas baharu sahaja selesai menganjurkan program besar — Himpunan Mandat Negarawan di Alor Setar, Kedah,” katanya.
Jelas beliau, maklum balas dan pandangan bernas dalam pertemuan itu juga akan dibawa pula ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PN dan Majlis Presiden PN untuk diperhalusi serta diputuskan secara konsensus di bawah platform rasmi PN. – MalaysiaGazette
















