Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menegaskan Kampung Selamat, Tasek Gelugor, dekat sini, yang terjejas dengan penularan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) tidak diisytiharkan sebagai kawasan penyakit.

Beliau berkata, sebarang pengesahan status kawasan hanya akan dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) selepas pemeriksaan dan ujian dilakukan di ladang-ladang yang terlibat.

“Tiada pengisytiharan bahawa kawasan itu zon penyakit. JPV akan melakukan pemeriksaan dan ujian terhadap semua ladang, sekiranya ada ladang positif ASF, barulah tindakan pelupusan serta langkah kawalan dilaksanakan di ladang berkenaan,” katanya pada sidang media di Komtar hari ini.

Kon Yeow turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri melalui Seksyen Perancangan Utara (SPU)dan agensi-agensi berkaitan kini sedang mengenal pasti tapak alternatif sekiranya kawasan sedia ada perlu dikosongkan.

“Saya dimaklumkan SPU dan beberapa agensi lain sedang cuba mengenal pasti tapak lain sekiranya kawasan yang digunakan sekarang perlu dikosongkan. Penanaman juga sedang dilakukan di kawasan lapangan tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, jumlah sebenar kematian ternakan akibat ASF di kawasan berkenaan masih belum diperoleh secara rasmi daripada pihak berkuasa.

“Saya tidak mempunyai angka kematian. Laporan sebelum ini diterima bukan daripada Jabatan Veterinar, jadi saya tiada maklumat lengkap mengenai jumlah sebenar,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan sebanyak 822 ekor babi telah dilupuskan secara rasmi susulan wabak Demam Babi Afrika (ASF) yang berlaku di Kampung Selamat.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri, Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata, jumlah itu merangkumi 578 ekor babi hidup yang telah ditangkap dan ditanam, serta 244 bangkai yang turut ditanam menggunakan kaedah pelupusan yang betul.

“Walaupun terdapat kebimbangan awal mengenai penularan penyakit itu, tiada ladang baharu dikesan positif ASF sejak 12 Julai.

“Bilangan ladang yang dijangkiti kekal sebanyak tiga, dan pihak berkuasa terus menjalankan pengawasan yang ketat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast