Menteri Luar Negeri Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan.

KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyangkal lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perancis dan Itali baru-baru ini tidak membawa sebarang makna kepada negara.

Sebaliknya, kata beliau, Anwar turut mengadakan pertemuan empat mata dan berbincang mengenai banyak perkara dalam pertemuan bersama pemimpin kedua-dua negara berkenaan khususnya Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Jelas beliau, ketibaan Anwar di Perancis yang tidak disambut sendiri oleh Macron bukanlah isu besar memandangkan ia bukan lawatan bersifat rasmi sepenuhnya oleh delegasi negara.

“Dalam lawatan itu, Perdana Menteri singgah di kedua-dua negara berkenaan ketika dalam perjalanan ke Rio de Janeiro, Brazil untuk menghadiri persidangan BRICS.

“Memandangkan ada jemputan dari kedua-dua negara itu yang telah lama menjemput Perdana Menteri ke Itali dan Perancis, jadi Wisma Putra mengambil peluang dalam perjalanan ke Brazil itu untuk singgah.

“Ia bukanlah lawatan rasmi sangat, kalau lawatan rasmi itu lain, kita akan terus ke negara berkenaan,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad (BN-Rembau) menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang mempersoalkan mengapa lawatan Anwar ke Perancis tidak disambut sendiri oleh Macron selain tidak mendapat liputan meluas media-media utama di negara berkenaan.

Sementara itu, Mohamad menambah, Anwar ketika tiba di Perancis turut diberi sambutan rasmi sebagai pegawai tertinggi negara termasuk memeriksa barisan kehormatan.

Sebelum ini, media melaporkan lawatan rasmi Perdana Menteri ke ketiga-tiga negara berkenaan bermula di Itali pada 1 Julai dan berakhir di Brazil pada 7 Julai berjaya membuka peluang pelaburan baharu, dengan potensi pelaburan melebihi RM8 bilion di Itali, manakala di Perancis anggaran potensi pelaburan mencecah kira-kira RM4 bilion.

Di Brazil, Anwar menyifatkan lawatan ke Rio de Janeiro bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 sebagai satu kejayaan penting dalam memperkukuh hubungan dua hala serta memperluas jaringan kerjasama strategik Malaysia di peringkat global. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast