Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR – Unjuran ekonomi negara yang akan mencatat prestasi memberangsangkan pada kadar 4.5% bagi suku kedua 2025, berbanding 4.4% pada suku sebelumnya merupakan bukti keberkesanan usaha reformasi Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, jangkaan pertumbuhan 4.5% ini adalah petunjuk jelas dasar fiskal serta inisiatif kerajaan yang bersifat rakyat-centred dan menyeluruh, mula membuahkan hasil positif.

“Di sebalik tekanan global yang semakin mencabar, permintaan domestik yang stabil dan keyakinan pengguna dan pelabur, mencerminkan keberkesanan pendekatan kerajaan,” kata Kor Ming.

Tambah beliau, sektor pembinaan dilaporkan terus menunjukkan momentum kukuh dengan jangkaan kadar pertumbuhan sebanyak 11.0%, diterajui oleh projek bangunan bukan kediaman dan perumahan.

Sementara itu, sektor perkhidmatan dijangka berkembang sebanyak 5.3%, meningkat daripada 5.0% pada suku sebelumnya manakala sektor pembuatan pula mencatat pertumbuhan 3.8%.

Jangkaan pertumbuhan keseluruhan ini didorong oleh permintaan domestik yang diperkukuh melalui pelbagai inisiatif Kerajaan Madani termasuk pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah, Sumbangan Tunai Rahmah serta peningkatan gaji minimum, yang telah membantu meningkatkan pendapatan serta kuasa beli rakyat.

“Walau bagaimanapun, kerajaan terus berwaspada dengan risiko luaran seperti ketegangan perdagangan global dan perang tarif yang masih berterusan.

“Kerajaan Madani sentiasa kekal komited dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif serta kesejahteraan seluruh lapisan rakyat sentiasa terjamin,” katanya yang menyambut baik Bank Negara Malaysia untuk menurunkan Kadar Dasar Semalaman ke paras 2.75% sebagai langkah proaktif bagi menyokong aktiviti ekonomi negara khususnya dalam bidang hartanah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast