LOS ANGELES – Sebuah jet penumpang Amerika Syarikat (AS) terpaksa melakukan “pergerakan agresif” untuk mengelak perlanggaran di udara dengan pesawat pengebom B-52 Tentera Udara di North Dakota minggu lepas, lapor beberapa media pada Isnin.
Pesawat Delta Connection, yang dikendalikan oleh SkyWest Airlines, dalam penerbangan dari Minneapolis ke Lapangan Terbang Antarabangsa Minot apabila kejadian nyaris berlaku pada hari Jumaat lalu.
Menurut The Washington Post, pesawat itu telah dibenarkan oleh kawalan trafik udara untuk mendarat.
Bagaimanapun, juruterbang itu terpaksa melakukan “go-around” selepas pesawat pengebom B-52 muncul di laluan penerbangan.
Satu video yang disiarkan ke Instagram dan disahkan oleh Storyful menunjukkan juruterbang menjelaskan kepada penumpang B-52 sedang dalam laluan sama, kata laporan itu.
Beliau memohon maaf atas “pergerakan agresif” yang diperlukan untuk mengelak perlanggaran di udara, sambil menambah “tiada siapa yang memberitahu kami” tentang kehadiran pesawat lain.
Jurucakap Tentera Udara AS memberitahu Minot Daily News mereka menyedari laporan itu dan sedang menyiasat kejadian itu dan mengesahkan B-52 yang ditugaskan ke Pangkalan Tentera Udara Minot — terletak kira-kira 20 kilometer di utara Lapangan Terbang Antarabangsa Minot — menjalankan lintasan Pameran Dakota Utara pada petang Jumaat. – Agensi
















